Pemegang saham Oasis Harvest lulus pengambilalihan RM30.8 juta jenama De.Wan 1958, Café Chef Wan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Oasis Harvest lulus pengambilalihan RM30.8 juta jenama De.Wan 1958, Café Chef Wan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Pemegang saham Oasis Harvest Corporation Berhad sebulat suara bersetuju dengan cadangan pengambilalihan Metta Food & Lifestyle Sdn Bhd - pengendali jenama terkenal De.Wan 1958 by Chef Wan dan Café Chef Wan - dengan pertimbangan tunai sebanyak RM30.8 juta.

 

Kumpulan itu berkata, pengambilalihan itu, yang turut disertakan jaminan keuntungan dua tahun berjumlah RM5.6 juta yang merupakan langkah penting dalam perjalanan Oasis sebagai kumpulan dalam sektor makanan dan minuman (F&B). 

 

Jenama De.Wan 1958 by Chef Wan dan Café Chef Wan, yang diasaskan bersama oleh Duta Kulinari Negara, Datuk Dr. Redzuawan Ismail (Chef Wan), bersama Mr. Andre Shum, merupakan jenama makan premium yang sinonim dengan gastronomi autentik Malaysia serta gaya hidup moden. 

 

Kedua-dua jenama yang diiktiraf dalam senarai Michelin Bib Gourmand 2022, 2023 dan 2024 ini kini bakal menjadi teras kepada portfolio F&B premium Oasis.

 

Pengarah Eksekutif Oasis Harvest, Ch’ng Eu Vern berkata, kelulusan itu mencerminkan keyakinan bersama terhadap visi kumpulan untuk membina kumpulan F&B yang kukuh dan pelbagai. 

 

wan

 

"Pengambilalihan Metta bukan sahaja menambah dua jenama ikonik Malaysia ke dalam portfolio kami, tetapi juga membuka peluang baharu untuk pertumbuhan, sinergi dan pengembangan jenama di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selepas pengambilalihan itu selesai, Oasis akan mengintegrasikan dapur pusat dan infrastruktur operasi Metta dengan jenama F&B sedia ada seperti Uncle Don’s dan Verona Trattoria bagi meningkatkan skala operasi, memperkemas rantaian bekalan dan mencapai kecekapan yang lebih tinggi.

 

Beliau berkata, Oasis kini melaksanakan strategi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) secara proaktif untuk berkembang secara organik dan inorganik. 

 

"Matlamat kami adalah untuk menjadi antara konglomerat F&B terkemuka Malaysia, menawarkan pengalaman makan autentik sambil mengangkat keunggulan kulinari Malaysia ke peringkat serantau," katanya. - DagangNews.com