KUALA LUMPUR 3 Jun - Sekumpulan pemegang saham minoriti Kumpulan Jetson Bhd, yang memiliki pegangan keseluruhan sebanyak 10.68%, memfailkan tindakan undang-undang bagi mendesak syarikat memberi akses kepada senarai pemegang saham dan membenarkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diteruskan.
Kumpulan itu bercadang untuk menyingkirkan keseluruhan ahli lembaga pengarah dan meminta Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh EGM pada 18 Jun atau selepas tarikh tersebut.
Menurut laporan The Malaysian Reserve, lima pemegang saham yang membuat permohonan berkenaan ialah Yudishthiran Doraisamy (4.05%), Dhayalini PG Doraisamy (4.01%), PG Doraisamy P Gopal (0.79%), Wong Hong Yuk (1.21%) dan Teoh Cheng Fang (0.62%).
Mereka turut memohon perintah mahkamah bagi menghalang sebarang perubahan dalam lembaga pengarah, urus niaga saham atau keputusan perniagaan luar kebiasaan sebelum EGM berlangsung.
Tindakan itu dibuat selepas lembaga pengarah Kumpulan Jetson menangguhkan EGM kerana menunggu keputusan kes mahkamah lain yang difailkan oleh tiga pemegang saham.
Tiga pemegang saham itu sebelum ini mencabar kesahihan notis permintaan EGM yang dihantar pada 23 April lalu.
Notis tersebut mencadangkan supaya semua pengarah sedia ada digugurkan dan diganti dengan lima calon baharu, termasuk Hong Yuk dan Cheng Fang.
Kes berkenaan akan didengar di mahkamah pada 9 Jun ini.
Kumpulan Jetson mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM22.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
Tiada perbandingan tahun sebelumnya kerana berlaku perubahan pada tarikh akhir tahun kewangan syarikat. - DagangNews.com








