KUALA LUMPUR 23 Dis – Pemegang saham minoriti terbesar DKSH Holdings (Malaysia) Bhd menggesa pelabur supaya menolak tawaran pengambilalihan oleh syarikat induknya yang berpangkalan di Switzerland, dengan menyifatkan tawaran itu sebagai “terlalu rendah”.
DKSH Holding Ltd yang berpangkalan di Switzerland ketika ini menguasai 74.31% pegangan dalam DKSH Malaysia.
Pada 9 Dis 2025, DKSH Holding telah mencadangkan satu pelaksanaan pengurangan modal terpilih (selective capital reduction - SCR) yang akan membayar tunai RM6.15 bagi setiap saham DKSH Malaysia yang dipegang oleh pemegang saham minoriti.
Harga itu mewakili premium 16.7% berbanding harga penutupan terakhir saham pada RM5.27 pada 8 Disember sebelum pengumuman dibuat, namun masih 8.8% lebih rendah daripada nilai buku RM6.74 setakat 30 September 2025.
Pengasas dan Pengarah Pangolin Investment Management Pte Ltd, James Hay yang berpangkalan di Singapura adalah antara pemegang saham paling lantang bersuara menolak cadangan itu.
Beliau berkata firmanya tidak melihat sebarang merit dalam tawaran pengambilalihan itu dan akan mengundi menentang cadangan SCR tersebut.
Pangolin, melalui dana nilai jangka panjangnya Pangolin Asia Fund memegang 2.71% kepentingan dalam DKSH Malaysia, mewakili 10.55% daripada 40.5 juta saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti.
Untuk memastikan proses penswastaan berjaya, DKSH memerlukan persetujuan hampir semua pemegang saham utama bagi memastikan proses itu berjaya.
Dengan pendirian Pangolin yang cenderung untuk menolak, tawaran ini meletakkan pemegang saham DKSH Malaysia dalam dilema serta menjadi cabaran kepada DKSH untuk memenuhi semua syarat yang diperlukan.
Difahamkan terdapat pelabur “wang pintar” dalam kalangan pemegang saham, khususnya pelabur nilai, yang berkemungkinan akan mengikut pendirian Pangolin.
Untuk urus niaga ini diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang, ia memerlukan:
(a) kelulusan sekurang-kurangnya majoriti dari segi bilangan pemegang saham minoriti dan 75% dari segi nilai saham yang mengundi; dan
(b) tidak lebih daripada 10% saham mengundi yang dipegang oleh pemegang saham minoriti menentang cadangan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: DKSH Resources rancang ambil alih sepenuhnya DKSH Malaysia dengan tawaran RM6.15 sesaham
Antara pemegang saham DKSH Malaysia yang lain termasuk Eastspring Investments Small-cap Fund (1.4%), Neoh Choo Ee & Co Sdn Bhd (1.27%) dan Lembaga Tabung Haji (Eastspring) (0.72%).
DKSH Malaysia mengesahkan bahawa ia telah menerima tawaran daripada syarikat induknya pada 9 Disember melalui anak syarikat milik penuh DKSH Resources (Malaysia) Sdn Bhd, untuk menswastakan DKSH Malaysia melalui pelaksanaan SCR. DKSH perlu membelanjakan RM249.09 juta bagi baki 25.7% saham DKSH Malaysia yang belum dimilikinya.
Hay berkata, pihaknya akan menolak cadangan tersebut kerana harga RM6.15 sesaham yang ditawarkan adalah terlalu rendah.
“Kami melabur dalam saham ini untuk jangka panjang. Kami menjangkakan untuk terus memegang saham ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dan menjangkakan ia diniagakan pada kira-kira 15 kali pendapatan pada masa itu. Keuntungan, kecairan dan kepentingannya akan terus berkembang,” kata Hay, lapor The Edge.
Beliau percaya bahawa pada harga sebelum penggantungan dagangan RM5.27, saham tersebut kini diniagakan pada separuh daripada nilai sebenar.
Data Bloomberg menunjukkan saham itu diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan sebanyak 5.87 kali, berdasarkan unjuran pendapatan konsensus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026).
“DKSH Malaysia telah mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun keuntungan bersih sebanyak 11.8% sepanjang lapan tahun lalu.
“Kami percaya syarikat ini bernilai sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada penilaian pasaran semasa. Saya yakin DKSH juga sependapat. Tidak mungkin kami akan menjual,” katanya.
Apabila ditanya sama ada Pangolin akan mempertimbangkan untuk menjual jika harga tawaran lebih tinggi, Hay berkata DKSH Malaysia akan bernilai jauh lebih tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Inilah cara untuk menjana keuntungan dalam pasaran saham. Anda membeli syarikat yang dinilai rendah. Jika ia kecil, ia akan berkembang. [DKSH Malaysia] ialah pengedar barangan pengguna cepat bergerak (FMCG) No. 1 di Malaysia.
“Ia berkembang pesat, diurus dengan baik, membayar dividen secara konsisten, melabur semula dalam perniagaan dan memberikan pulangan yang tinggi.
“Ia memiliki jenama kukuh seperti Buttercup dan SCS Butter. Tidak masuk akal untuk sesiapa menjualnya,” katanya.
Pangolin Asia Fund telah menjadi pemegang saham DKSH Malaysia sejak September 2023.
“Menarik untuk melihat sama ada pengarah bebas benar-benar menunjukkan kebebasan dan menasihatkan supaya tawaran ini ditolak. Harga tawaran terlalu murah. Inilah sebabnya Pangolin mahu pengarah bebas dibayar dalam bentuk saham yang tidak boleh dijual selagi mereka menjadi pengarah; supaya mereka berfikir seperti pemegang saham dan bukan sekadar hadir untuk elaun tahunan,” kata Hay.
Pangolin menguruskan dana kira-kira AS$200 juta (RM822 juta), dengan fokus kepada syarikat tersenarai di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Filipina.
Hujah Kecairan dan Percanggahan
Hujah DKSH untuk penswastaan adalah berdasarkan isu kecairan saham. Ia mencadangkan penyahsenaraian dengan mengambil kira bahawa saham DKSH Malaysia telah lama mengalami kecairan dagangan yang sangat rendah, dengan purata hanya 48,492 saham didagangkan setiap hari sepanjang tiga tahun lalu, bersamaan hanya 0.12% daripada saham terapung bebas.
Namun, sebahagian pemegang saham berpendapat alasan ini tidak kukuh.
Bekas penganalisis kanan, Ooi Beng Hooi, yang juga merupakan pemegang saham DKSH Malaysia, turut menyatakan hasrat untuk menolak tawaran pengambilalihan tersebut.
Dalam satu hantaran di LinkedIn pada 9 Disember, Ooi menyatakan apabila pelabur sebelum ini bertanya mengenai kemungkinan terbitan bonus untuk meningkatkan kecairan pada mesyuarat agung tahunan, lembaga pengarah DKSH Malaysia berkata saham tersebut sudah mempunyai “kecairan yang mencukupi”.
“Namun kini, isu yang sama digunakan sebagai justifikasi untuk menswastakan syarikat.
“Percanggahan ini menimbulkan persoalan: adakah kecairan rendah benar-benar satu kebimbangan — atau sekadar alasan mudah untuk menswastakan syarikat pada penilaian yang rendah?” katanya.
Meskipun Pangolin dan sebahagian pemegang saham runcit menentang tawaran tersebut, Hong Leong Investment Bank Research mengesyorkan pelanggannya menerima tawaran itu, dengan menyatakan bahawa SCR memberikan jalan keluar yang munasabah memandangkan volum dagangan saham yang kronik rendah, keadaan operasi yang tidak menentu serta niat jelas DKSH untuk menyahsenarai anak syarikatnya di Malaysia.
Firma penyelidikan itu telah menurunkan nilai saksama saham kepada RM6.15 daripada RM6.95 sebelum ini, selaras dengan harga tawaran terkini, berikutan kebarangkalian tinggi penswastaan dan prospek terhad untuk penilaian semula saham secara bermakna di pasaran terbuka.
Cubaan pengambilalihan ini berlaku ketika DKSH Malaysia kembali mencatat momentum, selepas terjejas pada FY2019 akibat kos yang lebih tinggi daripada inisiatif pertumbuhan dan kecekapan serta kos pembiayaan sekali sahaja berkaitan pengambilalihan Auric Pacific (M) Sdn Bhd (pemilik jenama Buttercup dan SCS Butter) pada tahun tersebut.
Dalam satu temu bual dengan The Edge pada September lalu, Pengarah Eksekutif DKSH Malaysia dan Naib Presiden Penjagaan Kesihatan, Sandeep Tewari berkata kumpulan itu menjangkakan satu lagi tahun pendapatan yang kukuh pada FY2025, disokong oleh kecekapan kos berterusan dan pemerolehan pelanggan baharu.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan (9MFY2025), keuntungan bersih meningkat 23.7% tahun ke tahun kepada RM104.65 juta hasil daripada pendapatan yang lebih tinggi, kecekapan operasi dan kesan pertukaran asing belum direalisasikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tawaran pengambilalihan DKSH RM6.15 sesaham dinilai adil, menarik - HLIB
Hasil meningkat 7.4% kepada RM6.34 bilion.
DKSH Malaysia menjana 54% hasilnya daripada barangan pengguna dan 45% daripada penjagaan kesihatan, dengan selebihnya daripada perniagaan runcit Famous Amos.
Jenama utama barangan pengguna di bawah pengurusan DKSH Malaysia termasuk Nutella, Kinder, Tic Tac, Ferrero Rocher, Beiersdorf, Kraft Heinz dan Teazen.
Dalam segmen penjagaan kesihatan, portfolionya merangkumi Novartis, Pfizer, Roche, Sanofi dan Alcon.
Syarikat ini mengendalikan 17 pusat pengedaran dan gudang, serta sebuah loji pembuatan di Malaysia.
Menurut Sandeep, Malaysia merupakan antara tiga pasaran terbesar DKSH Group di peringkat global, bersama Thailand dan Vietnam.
Berdasarkan data Bloomberg, penganalisis menjangkakan DKSH Malaysia mencatat keuntungan bersih RM160.5 juta pada FY2025 dan RM168.5 juta pada FY2026. Syarikat mencatat keuntungan bersih RM123.12 juta pada FY2024.
Ia juga diunjurkan membayar dividen sebanyak 18 sen sesaham bagi FY2025 dan FY2026. DKSH Malaysia membayar dividen 19 sen sesaham pada FY2024 dan 17 sen pada FY2023.
Setakat akhir September, DKSH Malaysia mempunyai tunai dan baki bank sebanyak RM50.87 juta berbanding jumlah pinjaman RM536.62 juta, menjadikan kedudukan hutang bersih RM485.75 juta dan nisbah penggearan bersih 0.46 kali.
Syarikat masih belum mengeluarkan dokumen tawaran, dan pelaksanaan SCR, jika diluluskan oleh lembaga pengarah, juga memerlukan perintah Mahkamah Tinggi.
DKSH menjangkakan proses itu selesai pada suku kedua atau ketiga 2026.
Susulan pengumuman SCR, saham DKSH Malaysia yang meningkat 12% setakat tahun ini, melonjak sehingga 14% kepada paras tertinggi intra hari RM6 sebelum susut untuk ditutup pada RM5.90 apabila pelabur menilai berita tawaran pengambilalihan tersebut.
Modal pasaran syarikat ketika itu bernilai RM930.2 juta.








