KUALA LUMPUR 16 April - OCK Group Bhd mendapat kelulusan daripada para pemegang saham untuk meneruskan pelaburan bernilai RM350 juta dalam sebuah loji tenaga solar berskala besar di Malaysia, menerusi syarikat Solarpack Suria Sungai Petani Sdn Bhd (3SP).
Menurut syarikat itu, keputusan berkenaan dicapai semasa mesyuarat agung luar biasa syarikat yang diadakan hari ini melalui kaedah pengundian.
"Sebanyak 83 pemegang saham menyokong resolusi tersebut, manakala hanya seorang menolak.
"Pelaburan ini akan dilaksanakan melalui pembelian 1,000 saham keutamaan boleh tebus dalam SPK Asia, yang akan dibayar sepenuhnya secara tunai," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
OCK sebelum ini menandatangani perjanjian pelaburan bersyarat dengan syarikat dari Sepanyol, Zelestra Corporacion SAU dan anak syarikatnya, Solarpack Asia Sdn Bhd untuk pembangunan projek berkenaan.
Perjanjian itu turut merangkumi pengambilalihan pinjaman berjumlah RM14.23 juta daripada Zelestra kepada OCK, yang juga akan diselesaikan secara tunai.
3SP ialah pengeluar tenaga bebas yang memiliki dan mengendalikan loji tenaga solar berskala besar (LSS PV) di Kedah, yang telah mula beroperasi secara komersial pada 8 Mac 2022. - DagangNews.com








