Pemegang saham baharu Cahya Mata Sarawak tarik perhatian pelabur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham baharu Cahya Mata Sarawak tarik perhatian pelabur

KUALA LUMPUR 3 Jun - Daripada 30 nama pemegang saham utama Cahya Mata Sarawak Bhd, Chew Chiaw Ann menarik perhatian umum ketika syarikat itu kini sedang berdepan konflik dalaman dan harga saham pula meningkat dengan ketara.

 

Chew Chiaw Ann memiliki 1.42% kepentingan dalam Cahya Mata Sarawak, atau bersamaan 15.25 juta saham. 

 

Nama beliau buat pertama kali didedahkan dalam laporan tahunan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 2024. 

 

Apa yang jelas, Chiaw Ann bukan tokoh korporat yang dikenali umum, tetapi menurut laporan The Edge, beliau adalah adik kepada Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco Bhd, Datuk Chew Chiaw Han, sekali gus menambah dimensi baharu kepada pemilikan saham dalam Cahya Mata Sarawak.

 

Pemerhati pasaran menganggap perkembangan itu penting kerana ia berlaku ketika Cahya Mata Sarawak sedang berdepan konflik dalaman antara dua ahli keluarga pengasasnya, iaitu Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan abangnya, Datuk Sri Mahmud Abu Bekir Taib.

 

Kedua-dua mereka adalah anak kepada bekas Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

 

Mereka kini terlibat dalam beberapa kes mahkamah berkaitan pengurusan syarikat, termasuk dakwaan salah guna kuasa dan permintaan untuk melihat rekod kewangan.

 

Pada masa yang sama, saham Cahya Mata Sarawak menunjukkan peningkatan besar dengan kenaikan sebanyak 52% sejak 9 April lalu dan mencecah RM1.30 pada 15 Mei lalu, paras tertinggi sejak November 2024.

 

Kenaikan itu dikaitkan dengan spekulasi kemungkinan perubahan dalam pemilikan syarikat. 

 

Saham syarikat Ibraco, yang ada kaitan dengan keluarga Chew juga naik hampir 30% sejak awal Mei lalu.

 

Ada juga andaian bahawa kemunculan Chiaw Ann sebagai pemegang saham mungkin sebahagian daripada rancangan lebih besar kerajaan negeri untuk mengukuhkan kawalan ke atas Cahya Mata Sarawak. 

 

Ini kerana syarikat tersebut memiliki aset penting seperti kilang simen, kontrak penyelenggaraan jalan dan projek hartanah yang menyumbang kepada pembangunan negeri.

 

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Chiaw Ann atau pihak Cahya Mata Sarawak tentang tujuan sebenar pembelian saham berkenaan. 

 

Namun, pelabur dan penganalisis terus mengikuti perkembangan itu dengan teliti kerana ia berpotensi membawa perubahan besar kepada hala tuju Cahya Mata Sarawak pada masa akan datang.

 

Selain kemunculan pemegang saham baharu, struktur pemilikan Cahya Mata Sarawak juga menjadi tumpuan kerana keluarga Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud masih memegang hampir 25% saham syarikat. 

 

Pegangan tersebut dimiliki oleh anak-anak beliau dan isteri keduanya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

 

Majaharta Sdn Bhd, syarikat milik dua anak perempuan Allahyarham Tun Taib Mahmud iaitu Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree dan Jamilah Hamidah, memegang 12.54% saham dalam Cahya Mata Sarawak, menjadikannya pemegang saham keluarga terbesar. 

 

Raghad pula memiliki 4.65% pegangan, manakala dua anak lelaki Taib hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Puan Sri Laila Taib, Sulaiman dan Mahmud, masing-masing memegang 0.63% dan 0.41%. 

 

Namun, pewarisan saham itu mencetuskan ketegangan dalam keluarga. 

 

Sulaiman dilaporkan mencabar pemindahan sebahagian saham milik ibunya kepada Raghad, yang dianggap kontroversi. 

 

Beliau juga memfailkan afidavit untuk menghalang Mahmud daripada mengakses dokumen kewangan Cahya Mata Sarawak dan lima anak syarikatnya.

 

Selain keluarga Taib, kerajaan negeri Sarawak juga mempunyai kepentingan besar dalam Cahya Mata Sarawak melalui Lembaga Tabung Haji (6.8%) dan Sarawak Economic Development Corporation (5.67%). 

 

Ini menunjukkan Cahya Mata Sarawak kekal sebagai aset strategik negeri, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa kemunculan Chiaw Ann mungkin sebahagian daripada rancangan penyusunan semula pemilikan, sama ada untuk menyokong Mahmud, Sulaiman atau kerajaan negeri. - DagangNews.com