KUALA LUMPUR 24 Julai - AME Elite Consortium Berhad dan AME Real Estate Investment Trust telah menerima kelulusan daripada pemegang saham dan pemegang unit yang tidak berkepentingan masing-masing untuk satu transaksi bernilai RM100.8 juta melibatkan tiga hartanah perindustrian yang terletak di Johor.
Katanya, hartanah terlibat ialah i-Park SAC 34, i-TechValley 35 dan i-TechValley 36 yang terletak dalam taman perindustrian bersepadu AME Elite di Iskandar Malaysia.
Hartanah itu terdiri daripada kilang berasingan setingkat dengan pejabat dan bangunan sokongan yang semuanya telah disewakan sepenuhnya di bawah perjanjian jangka panjang.
Bagi AME Elite, pelupusan kepada AME REIT memberikan modal segera untuk menyokong strategi pengembangan taman perindustriannya, di samping meningkatkan pendapatan berulang melalui pegangan strategiknya dalam AME REIT.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata, kelulusan daripada para pemegang saham mengukuhkan lagi kekuatan model bersepadu kumpulan.
“Kelulusan transaksi ini membuka ruang untuk pengagihan semula modal ke dalam rancangan pembangunan taman perindustrian kami, termasuk projek Northern TechValley di Pulau Pinang dan usaha sama kami di Selangor bersama KLK Land.
"Pendekatan kami yang tangkas membolehkan kami memanfaatkan aliran pelaburan langsung asing dan tempatan yang kukuh, sambil mengukuhkan asas pendapatan melalui AME REIT," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian bernilai RM100.8 juta itu mewakili tranche kedua dalam pelan pengambilalihan AME REIT bagi tahun kewangan 2025 (FY25) yang merangkumi tujuh hartanah perindustrian dengan jumlah nilai sebanyak RM220.3 juta.
Hartanah-hartanah dalam tranche kedua ini dijadualkan untuk disiapkan secara berfasa dari suku ketiga 2025 hingga suku pertama 2026.
Ini susulan kejayaan pengambilalihan tiga hartanah dalam tranche pertama—i-Park SAC 23 & 24 (disiapkan pada Februari 2025), i-TechValley 46 (Mac 2025), dan i-TechValley 34 (Julai 2025)—dengan jumlah keseluruhan bernilai RM119.5 juta.
Satu lagi hartanah daripada tranche ini, iaitu i-Park SAC 60 & 61, dijangka akan siap menjelang suku keempat 2025.
Setakat ini, portfolio AME REIT merangkumi 40 hartanah pelaburan dengan jumlah Kawasan Boleh Disewa yang Dipersetujui (Agreed Lettable Area, ALA) sebanyak 2.2 juta kaki persegi dan nilai portfolio sebanyak RM800.5 juta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, pengurus kepada AME REIT, Chan Wai Leo berkata, pengambilalihan itu adalah akretif dan selari dengan strategi REIT untuk membina portfolio penjana pendapatan yang berkualiti.
“Kami berbesar hati dengan sokongan berterusan daripada para pemegang unit kami. Hartanah-hartanah yang telah disewakan sepenuhnya ini terletak secara strategik dalam taman perindustrian milik penaja kami dan akan mengukuhkan lagi portfolio AME REIT," katanya.- DagangNews.com








