KUALA LUMPUR 8 April - Pesakit yang membayar sendiri kos rawatan di hospital swasta tempatan, dikenakan bil yang lebih rendah berbanding pesakit yang menggunakan insurans kesihatan, walaupun jenis penyakit yang dirawat adalah sama.
Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian RE) berkata, ia sekali gus mendedahkan, kos rawatan dalam sistem penjagaan kesihatan swasta di Malaysia tidak ditentukan oleh jenis atau tahap kritikal sesuatu penyakit, tetapi bergantung kepada siapa yang membayar rawatan tersebut.
"Pesakit yang mempunyai insurans kesihatan biasanya dikenakan caj rawatan maksimum, walaupun jenis penyakit yang dirawat adalah sama.
"Ia memperlihatkan kebimbangan bahawa hospital swasta sering memberikan lebih banyak rawatan, yang kadangkala tidak diperlukan dan lebih mahal, apabila pesakit dilindungi oleh insurans," kata Malaysian RE dalam kajian pasarannya yang bertajuk Malaysian Insurance Highlights (MIH) 2025.
Laporan tersebut mencatatkan, situasi itu menimbulkan persoalan tentang amalan di sesetengah hospital swasta yang mungkin menekan pesakit untuk menerima rawatan tambahan yang tidak perlu, hanya kerana mereka mempunyai insurans.
Malaysian RE, yang merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd dan juga syarikat reinsurans nasional terbesar di rantau ASEAN dari segi aset berkata, hasil kajian berkenaan menunjukkan, terdapat ketidakseimbangan dalam struktur kos rawatan yang dikenakan di hospital swasta, bergantung kepada jenis pembayar.
Laporan MIH 2025 juga mengulas tentang perkembangan dalam industri insurans di Malaysia, di mana syarikat insurans hayat dan takaful keluarga mengalami pertumbuhan yang kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan menguasai pasaran.
Walaupun begitu, ia mencatatkan kerugian selama beberapa tahun disebabkan oleh kenaikan jumlah tuntutan perubatan.
Tuntutan kos perubatan bagi penyedia syarikat insurans hayat dan takaful keluarga meningkat secara mendadak kepada RM5.3 bilion pada separuh pertama 2024 (1H2024), berbanding RM4.7 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (1H2023).
Kenaikan itu disumbangkan daripada peningkatan jumlah kes penyakit kronik dan akut, serta kenaikan kos rawatan secara keseluruhan yang semakin membebankan.
"Selain itu, penyedia insurans am dan takaful am turut menghadapi kesulitan yang sama, di mana mereka mengalami trend tuntutan yang semakin tinggi dalam sektor perubatan dan kesihatan.
"Bagaimanapun, syarikat insurans am dilihat berada dalam keadaan yang sedikit lebih baik berbanding penyedia insurans hayat dan takaful keluarga, namun mereka masih terkesan dengan kesan ketidaktentuan ini," jelas laporan tersebut.
Kajian itu turut mendedahkan, walaupun syarikat insurans hayat dan takaful keluarga mengakui keuntungan yang agak tipis, mereka tidak berminat untuk menawarkan lebih banyak perlindungan atau mengambil lebih banyak polisi disebabkan oleh kerugian yang dialami akibat peningkatan jumlah tuntutan yang tidak dijangka.
Syarikat insurans am pula berkata, insurans kesihatan peribadi hanya menyumbang kurang daripada 10% daripada jumlah portfolio mereka dan dengan kadar tuntutan yang semakin meningkat, tidak ada syarikat yang berminat untuk memperluas bahagian pasaran mereka dalam perlindungan sama.
Sebahagian daripada syarikat terlibat juga menyatakan, mereka terpaksa mengecilkan portfolio disebabkan oleh prestasi yang mengecewakan.
Menurut temubual dengan beberapa eksekutif dalam industri berkenaan, insurans kesihatan kumpulan dilihat lebih menguntungkan berbanding insurans kesihatan individu, tetapi ia juga menghadapi persaingan yang lebih sengit.
"Bagaimanapun, terdapat harapan pertumbuhan dalam pasaran insurans kesihatan di Malaysia, terutama dengan kemunculan pemain digital baharu yang menawarkan produk yang disasarkan secara dalam talian.
"Syarikat insurans kesihatan juga semakin memperluas perlindungan mereka dengan menawarkan tambahan seperti perlindungan untuk masalah kesihatan mental, kecacatan, perubatan alternatif dan penjagaan pencegahan," ujarnya. - DagangNews.com








