Pembinaan RTS 2 berpotensi jadi pemangkin utama pembangunan Iskandar Puteri - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan RTS 2 berpotensi jadi pemangkin utama pembangunan Iskandar Puteri - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Cadangan pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) 2 yang menghubungkan antara Tuas, Singapura dan Iskandar Puteri berpotensi menjadi pemangkin utama pembangunan di wilayah itu didorong aktiviti rentas sempadan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, walaupun masih berada pada peringkat perbincangan awal, cadangan RTS 2 adalah tepat pada masanya dan sangat strategik.

 

Katanya, JS-SEZ dijangka merangsang aktiviti ekonomi rentas sempadan dan mobiliti tenaga kerja yang ketara, dan sambungan RTS kedua akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan, meningkatkan keterhubungan dan menyokong pertumbuhan berterusan bagi ktiviti rentas sempadan.

 

Bagaimanapun, tiada butiran khusus mengenai jajaran, lokasi hentian atau garis masa pelaksanaan yang telah didedahkan setakat ini.

 

“Jika direalisasikan, RTS 2 boleh menjadi pemangkin utama bagi Iskandar Puteri, sama seperti kesan yang dilihat di sekitar sambungan RTS sedia ada di Johor Bahru.

 

“Harga hartanah kediaman berhampiran stesen RTS semasa meningkat dengan ketara, malah berganda dalam hanya beberapa tahun sebelum operasi dimulakan, sekali gus menyerlahkan potensi peningkatan nilai yang besar hasil daripada infrastruktur transit rentas sempadan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB percaya, RTS 2 berpotensi untuk mengulangi trend itu di Iskandar Puteri, sekali gus memberi manfaat kepada pemaju yang mempunyai pegangan tanah strategik di kawasan tersebut, terutamanya Sunway Group dan UEM Sunrise Bhd.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, sebagai perbandingan, pelancaran baharu projek kediaman bertingkat tinggi berhampiran koridor RTS sedia ada kini mencatatkan harga antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap kaki persegi.

 

Sebaliknya, terdapat hanya sedikit pelancaran baharu kediaman bertingkat tinggi di Iskandar Puteri sejak kebelakangan ini.

 

Sebagai perbandingan, HLIB berkata, projek rumah bertanah Sunway iaitu Maple Residences yang dilancarkan pada akhir 2024 hanya berharga sekitar RM550 bagi setiap kaki persegi.

 

Katanya, pengenalan RTS 2 bukan sahaja melonjakkan harga hartanah di rantau ini, malah turut mengubah landskap pembangunan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan aksesibiliti akan menyokong peralihan daripada pembangunan rumah bertanah berketumpatan rendah kepada pembangunan bertingkat tinggi berketumpatan tinggi, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan tanah dan membolehkan pemaju menjana nilai yang lebih tinggi daripada pegangan tanah mereka. - DagangNews.com