KUALA LUMPUR 25 Julai - Sektor pengguna diyakini menerima rangsangan segera daripada pemberian tunai terkini kerajaan dan pembaharuan subsidi bahan api, menurut penganalisis.
Rangsangan itu juga dijangka memberikan sedikit manfaat kepada sektor perbankan manakala amanah pelaburan hartanah (REIT) mungkin meraih keuntungan daripada peningkatan jualan penyewa, kadar penghunian yang lebih baik dan peningkatan prestasi penyewaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali beri sebanyak RM100 berjumlah RM2 bilion di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai sebahagian daripada langkah fiskal menangani peningkatan kos sara hidup.
Beliau turut mengumumkan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi meringankan kos pengangkutan rakyat serta pembekuan kenaikan harga tol yang dijadualkan di 10 lebuh raya.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga RON95 turun kepada RM1.99 seliter, beri manfaat 18 juta pemandu kereta, penunggang motosikal - PM Anwar
Penganalisis berkata, syarikat seperti Nestle (M) Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, QL Resources Bhd dan Farm Fresh Bhd dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap produk F&B asas, yang kebanyakannya mungkin layak dibeli menggunakan kredit RM100 tersebut.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pemindahan tunai sekali beri dan penurunan harga RON95 untuk majoriti rakyat Malaysia menyokong penggunaan swasta.
“Dengan andaian keseluruhan RM100 perlu dibelanjakan untuk merealisasikan manfaatnya, kami menganggarkan bahawa RM2 bilion tersebut akan meningkatkan pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak kira-kira 0.2 mata peratusan.
ARTIKEL BERKAITAN: Warganegara dewasa terima RM100 sekali beri melalui MyKad mulai 31 Ogos – PM Anwar
“Tambahan pemindahan tunai sebanyak RM2 bilion ini bersamaan dengan 0.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities pula terus memihak kepada syarikat dalam sektor pengguna yang mendapat manfaat daripada permintaan stabil terhadap barangan keperluan dan berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan trend penjimatan dengan menumpukan kepada segmen pasaran yang lebih luas.
“Kami mengekalkan unjuran pendapatan kami pada masa ini kerana kami percaya langkah sokongan fiskal yang diumumkan akan menyokong andaian pertumbuhan hasil sedia ada bagi saham-saham dalam liputan kami,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya ditangguhkan, kerajaan tanggung kos lebih RM500 juta - PM Anwar
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian semasa adalah munasabah, mengambil kira sentimen pengguna yang lemah, kadar cukai jualan yang lebih tinggi ke atas barangan tidak keperluan, kesan boikot terhadap jenama tertentu seperti Nestle dan Berjaya Food Bhd, serta kenaikan kos yang berkaitan dengan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perbelanjaan sewaan.
Sementara itu, MBSB Research menjangkakan segmen barangan pengguna bukan keperluan akan mencatatkan peningkatan paling segera memandangkan ia sensitif terhadap perubahan permintaan jangka pendek dan sentimen pengguna.
“Antara penerima manfaat termasuk Aeon (pendedahan runcit yang meluas), Padini Holdings Bhd (fesyen mampu milik), Oriental Kopi Holdings Bhd (makanan & minuman), dan 99 Speedmart yang mempunyai tarikan kukuh dalam kalangan pengguna bandar dan separa bandar yang peka terhadap harga,” katanya. - DagangNews.com







