KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pembelian tanah Hotel Corus KLCC bernilai RM260 juta oleh Mah Sing Group Berhad dilihat sebagai satu langkah startegik walaupun harganya berada pada paras premium sekitar RM4,019 sekaki persegi.
Bagaimanapun, penganalisis percaya langkah itu berpotensi meningkatkan pendapatan jangka pendek dan prospek jangka panjang syarikat.
Tanah seluas 0.6 hektar terletak di Jalan Ampang dan hampir dengan kedudukan Menara Berkembar PETRONAS diperoleh daripada Malayan United Industries Berhad (MUI).
Mah Sing merancang untuk membangunkan semula tanah tersebut untuk dijadikan apartmen servis mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggar sebanyak RM1.28 bilion.
Harga pembelian itu berada di hujung atas julat RM3,500 hingga RM4,100 sekaki persegi yang direkodkan di kawasan KLCC sepanjang dekad lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing akan bangunkan semula Hotel Corus KLCC menjadi pangsapuri servis mewah dengan GDV dianggarkan RM1.28 bilion
Namun begitu, MBSB Research berkata, kos tanah hanya merangkumi 20% daripada GDV projek, nisbah yang dianggap munasabah dalam pembangunan hartanah.
"Projek itu dijangka memberikan margin keuntungan sihat sekitar 20%," katanya dalam satu nota kajian.
Penganalisis menjangkakan pemerolehan itu tidak akan memberi impak ketara serta-merta terhadap prestasi saham Mah Sing.
MBSB Research menaikkan harga sasaran saham Mah Sing sebanyak dua sen kepada RM1.51 sesaham, manakala CGS International mengekalkan harga sasarannya pada RM1.75, sambil menunggu pelaksanaan dan penyempurnaan projek tersebut.
Selepas pemerolehan ini, nisbah penggearan bersih Mah Sing dijangka meningkat sedikit daripada 17% kepada sekitar 19% hingga 23%.
Namun, penganalisis berpendapat tahap ini masih terkawal, disokong oleh aliran tunai operasi syarikat yang kukuh.- DagangNews.com








