KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pembelian tanah tanah di Lunas, Kedah berharga RM128.7 juta oleh Paramount Corporation Berhad dianggap berpatutan kerana ia hampir menyamai nilai pasaran bebas iaitu RM128.8 juta, sekali gus menyediakan penampan sihat untuk margin keuntungan kepada kumpulan.
TA Securities berkata, dengan kos tanah mewakili 14% daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV), ia berada di bawah penanda aras industri sebanyak 20%, sekali gus menyediakan penampan yang sihat untuk margin keuntungan daripada projek itu.
Katanya, ia merupakan pemerolehan tanah kedua Paramount pada tahun ini, menjadikan jumlah perbelanjaan setakat tahun ini bagi tujuan perolehan tanah kepada RM187 juta dengan jumlah potensi GDV sebanyak RM1.7 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan urus niaga itu, baki GDV Paramount meningkat kepada RM7.2 bilion, sejajar dengan sasaran pihak pengurusan untuk menambah semula GDV sekurang-kurangnya RM2 bilion bagi menyokong pelancaran projek dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Paramount merancang untuk membangunkan tapak ini sebagai perbandaran bercampur yang merangkumi lot kediaman, komersial dan perindustrian, serta dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan prasarana penting lain. Projek ini membawa anggaran GDV sebanyak RM946 juta dan akan dibangunkan dalam tempoh tujuh tahun, dengan pelancaran disasarkan pada tahun 2027," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Paramount beli tanah seluas 119.6 hektar berharga RM129 juta di Kedah
TA Securities berkata, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada pembelian tanah yang terletak berhampiran dengan pembangunan sedia ada untuk memendekkan masa pelaksanaan dan memanfaatkan kekuatan jenama yang telah dibina.
Katanya, pendekatan itu menunjukkan kejayaan berterusan di Wilayah Utara, di mana Paramount mempunyai kehadiran yang kukuh melalui pembangunan perbandaran seperti Taman Patani Jaya, Bandar Laguna Merbok dan Bukit Banyan.
Berikutan penyempurnaan pengambilalihan 28% kepentingan dalam Envictus pada 5 Ogos 2025 dan dengan andaian 70% pembiayaan hutang bagi pemerolehan tanah terbaru di Batu Kawan dan Kulim, penggearan kasar Paramount dijangka meningkat kepada 0.83x berbanding 0.73X melebihi keselesaan kumpulan iaitu 0.75. Penggearan bersih juga akan meningkat kepada 0.67x berbanding 0.56x sebelum ini.
"Walaupun paras ini berada di atas julat pilihan syarikat tetapi ia masih berada dalam lingkungan yang boleh diurus. Yang penting, pihak pengurusan telah menyatakan kesediaan untuk melebihi had penggeraran buat sementara waktu bagi urus niaga yang bersifat oportunistik dan berpotensi menambah nilai kepada syarikat," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.48 sesaham.- DagangNews.com








