KUALA LUMPUR 11 Ogos – Mah Sing akan terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran hartanah mewah di ibu kota melalui pembelian tanah Hotel Corus KLCC seluas 0.6 hektar bernilai RM260 juta, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, harga pembelian tanah sebanyak RM4,019 bagi setiap kaki persegi adalah selaras dengan julat transaksi tanah di kawasan segi tiga emas sepanjang itu 10 tahun lalu, yang berada antara RM1,700 hingga RM5,400.
“Harga tersebut turut disokong oleh status tapak yang terletak dalam Zon Perancangan Transit di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, membolehkan pembangunan dengan nisbah plot yang lebih tinggi dan seterusnya meningkatkan potensi pembangunan serta nilai tanah.
“Harga jualan purata sekitar RM2,000 bagi setiap kaki persegi adalah sangat kompetitif berbanding projek mewah berhampiran seperti Pavilion Square, Armani Hallson, Conlay Signature Suites dan CloutHaus Residences,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Tanah yang diperoleh daripada Malayan United Industries Berhad (MUI) itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank.
Mah Sing merancang membangunkan tapak tersebut menjadi projek pangsapuri servis premium dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.28 bilion, dengan kos tanah menyumbang 20.3% daripada jumlah GDV.
TA Securities berkata, momentum jualan dijangka perlahan sepanjang fasa pembangunan kerana pembeli segmen hartanah premium lebih suka menunggu produk pembinaan siap sepenuhnya.
Namun, firma itu percaya pelaksanaan yang teliti dan visi jelas dapat mengukuhkan kedudukan Mah Sing dalam pasaran kediaman mewah di Kuala Lumpur.
TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan Mah Sing bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY27 tanpa perubahan dan mengekalkan penarafan “beli” dengan harga sasaran RM1.72 sesaham. - DagangNews.com








