Pembelian MCL Land tingkatkan penglibatan Sunway dalam lebih banyak projek pembangunan hartanah di Singapura - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian MCL Land tingkatkan penglibatan Sunway dalam lebih banyak projek pembangunan hartanah di Singapura - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Langkah Sunway Berhad membeli MCL Land bukan sahaja menaikkan keuntungan kumpulan sebanyak 7% pada FY26 tetapi juga meningkatkan penglibatan kumpulan dengan lebih banyak projek pembangunan hartanah di Singapura, kata penganalisis.

 

RHB Research berkata, pembelian itu membolehkan Sunway melaksanakan pembangunan di atas tanah sedia ada milik MCL Land pada kos yang lebih rendah sekali gus mengurangkan risiko pelaksanaan berbanding penyertaan dalam tender tanah baharu. 

 

Firma penyelidikan itu optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan itu di Singapura dan menyatakan, pengambilalihan itu juga tepat pada masanya memandangkan pasaran hartanah di republik itu sedang mencatatkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini.

 

"Sunway akan terus memberi fokus kepada segmen pembangunan hartanah pertengahan dan pertengahan tinggi dengan harga jualan purata antara S$2,200 hingga S$2,700 kaki persegi selain mengukuhkan jenama di Singapura.

 

"Bagi pembidaan tanah pada masa hadapan, kerjasama dengan rakan usaha sama akan diurus dengan teliti bagi mengelakkan sebarang potensi konflik," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway beli MCL Land daripada Hongkong Land pada harga RM2.42 bilion

 

RHB Research berkata, pengambilalihan itu juga dapat mengelakkan sebarang gangguan keuntungan selepas penyenaraian Sunway Healthcare pada awal 2026.

 

Katanya, memandangkan tiga daripada lima projek di Singapura akan siap menjelang akhir 2025, jumlah keuntungan terkumpul daripada projek-projek ini dianggarkan antara RM100 juta hingga RM130 juta akan diiktiraf pada FY26.

 

Sementara itu, CGS International berkata, pengambilalihan itu bukan sahaja memperluas kehadiran Sunway di Singapura, tetapi juga mengukuhkan kedudukan di Malaysia dengan tumpuan utama kepada projek pembangunan semula Wangsa Walk yang berpotensi disuntik ke dalam Sunway REIT pada masa hadapan.

 

Katanya, ia juga mengisi keperluan Sunway untuk memiliki francais hartanah yang lebih besar dan kukuh selepas penyenaraian Sunway Healthcare, memandangkan diskaun pegangan syarikat induk dijangka melebar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penambahan terkini bank tanah Sunway di Singapura adalah bersama Sing Holdings apabila ia memenangi tender jualan tanah kerajaan Chuan Grove pada 10 September 2025.

 

CGS International berkata, Sunway sudah lama bertapak dalam pasaran hartanah Singapura melalui usaha sama dengan Hoi Hup Realty dan Sing Holdings namun pegangan Sunway hanya sekitar 35% dalam kedua-dua usaha sama tersebut.

 

"Sunway yakin mampu mengimbangi peluang pengumpulan tanah masa hadapan bagi ketiga-tiga entiti ini kerana setiap satunya mempunyai pasaran tersendiri, namun kami menjangkakan keutamaan akan diberikan untuk mengembangkan MCL Land," katanya.

 

Dalam pada itu, MBSB Research berkata, langkah itu merupakan sesuatu yang positif kepada Sunway kerana memberi lonjakan besar kepada kehadiran kumpulan itu di Singapura.

 

Katanya, MCL Land pada asasnya mempunyai pendedahan utama di Singapura dengan lima projek yang sedang berjalan, menyasarkan segmen perumahan pasaran pertengahan.

 

Nilai pembangunan kasar (GDV) projek-projek di Singapura berjumlah S$2.96 bilion dengan kadar pengambilan purata yang memberangsangkan iaitu sekitar 90%.

 

"Pengambilalihan MCL Land membolehkan Sunway mengembangkan operasi di Singapura dengan lebih pantas kerana ia dapat melaksanakan projek di sana dengan memanfaatkan kepakaran kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com