Pembelian 30 pesawat Boeing dibuat berdasarkan pertimbangan komersial bukan syarat pengurangan tarif AS, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian 30 pesawat Boeing dibuat berdasarkan pertimbangan komersial bukan syarat pengurangan tarif AS, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 OgosKementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menegaskan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada 19 peratus daripada 25 peratus tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarat pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines (MAS).

 

Sebaliknya, kementerian itu berkata, pembelian tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan keperluan operasi jangka panjang MAS.

 

“Ia bukan hasil paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak luar.

 

 

 

 

 

 

“Malah, pesanan awal bagi 25 unit B737 MAX telah dibuat pada tahun 2016, jauh sebelum rundingan tarif terbaru dibuat,” kata Miti dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

 

Penjelasan itu dibuat sebagai jawapan kepada Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang bertanya sama ada terdapat tekanan terhadap MAS untuk membeli 30 pesawat komersial Boeing bagi membolehkan negara mendapat pengurangan tarif AS.

 

Miti berkata, penambahan 30 unit B737 MAX pada Mac 2025 adalah sebahagian daripada strategi pembelian pesawat baharu secara berfasa untuk menggantikan pesawat yang kini berusia purata 14 tahun.

 

“Langkah ini penting, terutamanya untuk memastikan MAS mengekalkan piawaian keselamatan, meningkatkan kecekapan bahan api serta daya saing pasaran dalam menghadapi persaingan sengit syarikat penerbangan global.

 

“Dari segi limpahan ekonomi domestik, keputusan untuk memperoleh pesawat Boeing juga secara tidak langsung mengukuhkan ekosistem aeroangkasa negara.

 

“Malah, Malaysia telah pun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Boeing melalui Boeing Composites (anak syarikat pertama milik penuh Boeing) di Kedah,” tambahnya.

 

Miti berkata, sumbangan pelaburan industri aeroangkasa bernilai RM25.1 bilion di Malaysia pada tahun 2024 telah mewujudkan kira-kira 30,000 pekerjaan berkualiti tinggi.

 

Ia berkata Boeing telah menjangkakan peningkatan 4.7 peratus setahun dalam trafik penumpang global untuk tempoh 20 tahun akan datang.

 

 

 

 

 

 

“Oleh itu, pelaburan atau perolehan pesawat komersial ini juga akan membolehkan Malaysia memanfaatkan potensi pertumbuhan industri pelancongan.

 

“Secara ringkas, ia adalah keputusan komersial berdasarkan faktor perniagaan dan ekonomi,” kata Miti. - DagangNews.com