Pembekal serbuk plastik, Polymer Link intai peluang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembekal serbuk plastik, Polymer Link intai peluang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 April - Polymer Link Holdings Bhd, yang terlibat dalam pengeluaran serbuk plastik bagi kegunaan am dan khusus sedang merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut draf prospektus yang disiarkan di laman web Bursa Malaysia, syarikat itu merancang untuk menerbitkan 97.1 juta saham bersamaan 17.4% daripada modal saham diterbitkan selepas penyenaraian.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) itu juga merangkumi tawaran untuk jualan sebanyak 24.1 juta saham sedia ada bersamaan 4.3% pegangan di bawah tawaran awam permulaan.

 

Sejak 2011, aktiviti utama Polymer Link adalah pengeluaran serbuk plastik yang menyumbang 64.7% daripada hasil keseluruhan bagi tahun kewangan berakhir 2024.

 

Kumpulan itu juga terlibat dalam aktiviti perdagangan peralatan dan produk serta pembuatan kontrak termasuk acuan berputar (rotational moulding) bagi menghasilkan produk plastik berongga.

 

Bagi tahun kewangan berakhir pada 30 September 2024, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM10.3 juta daripada hasil sebanyak RM145.36 juta. Margin keuntungan kasar syarikat adalah 27.5%, manakala margin keuntungan sebelum cukai sebanyak 12.6%.

 

Di bawah terbitan awam, 28 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam di Malaysia, 4.44 juta saham kepada individu layak melalui borang merah jambu, dan 64.7 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian.

 

Dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk mengembangkan operasi  di Australia, bayaran balik pinjaman bank, dan modal kerja.

 

Sementara itu, hasil daripada tawaran untuk jualan akan diagihkan kepada pemegang saham sedia ada, termasuk Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koh Song Heng, Teoh Lee Tean, Naib Presiden Kanan Kumpulan Koh Tat Chuan, Ketua Rantaian Bekalan dan Pentadbiran Koh Tat Wei, Angel Joseph Baculo Adarlo dan Geeslin Montemayor Adarlo.

 

Selepas IPO, pegangan saham Koh Bersama ahli keluarga akan berkurang kepada 24.3%. Manakala pegangan Angel Joseph Baculo dan Geeslin Montemayor masing-masing akan berkurang kepada 11.7%.

 

Hong Leong Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal, dan penjamin tunggal bagi penyenaraian itu.- DagangNews.com