KUALA LUMPUR 2 Sept - Pelupusan pegangan 40% VSTECS Bhd dalam Isatec Sdn Bhd pada harga RM48.75 juta berpotensi membuka nilai daripada pelaburan bukan teras, selain mengukuhkan kedudukan kecairan kumpulan, menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, nilai pelupusan berkenaan mewakili premium 103.6% berbanding nilai bawaan pelaburan sebanyak RM23.9 juta.
Selepas mengambil kira perbelanjaan pelupusan RM2.9 juta, VSTECS dijangka merekodkan keuntungan bersih sekali sahaja sebanyak RM22 juta.
VSTECS menjual keseluruhan 40% kepentingannya dalam Isatec kepada Skyform Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura. Transaksi itu dijangka diselesaikan pada suku pertama FY27.
BIMB Securities berkata, pelupusan tersebut membolehkan VSTECS menjana semula sepenuhnya pelaburan minoriti dalam Isatec yang diperoleh pada 2019 dengan kos keseluruhan RM18.8 juta.
Lebih penting, VSTECS bercadang memperuntukkan RM45.9 juta atau 94% daripada hasil pelupusan bagi keperluan modal kerja, sekali gus memberi ruang kepada kumpulan untuk menyokong projek lebih besar serta perniagaan yang mempunyai kitaran modal kerja lebih panjang.
“Berdasarkan andaian ilustratif, peruntukan RM45.9 juta kepada modal kerja boleh menjana keuntungan bersih tahunan kira-kira RM6.1 juta, dengan andaian kitaran penukaran tunai 55 hari dan margin bersih 2%,” katanya.
Menurut BIMB Securities, jumlah tersebut secara kasarnya menyamai sumbangan keuntungan Isatec sebanyak RM5.6 juta kepada VSTECS pada FY25.
Firma itu berkata, pelupusan berkenaan turut meningkatkan fleksibiliti kewangan VSTECS, membolehkan pengurusan mengagihkan semula modal kepada perniagaan teras kumpulan.
BIMB Securities bagaimanapun tidak mengubah unjuran pendapatan VSTECS, dengan penggunaan hasil pelupusan untuk modal kerja dijangka menyokong pertumbuhan masa depan dan mengimbangi kehilangan sumbangan pendapatan daripada syarikat bersekutu.
Firma itu mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap VSTECS dengan harga sasaran RM2.14, yang mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 17.2 kali. - DagangNews.com








