Pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 diperluas untuk pusat jagaan harian, pusat transit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 diperluas untuk pusat jagaan harian, pusat transit

Gambar BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt – Bermula tahun depan, pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 bagi perbelanjaan yuran taman asuhan atau tadika berdaftar untuk anak berumur 6 tahun akan diperluaskan kepada pusat jagaan harian dan pusat transit berdaftar untuk anak berumur sehingga 12 tahun. 

 

Langkah itu bertujuan meringankan beban ibu bapa serta menggalakkan lebih ramai wanita bekerja.

 

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat juga menunjukkan kemajuan membanggakan. 

 

“Setakat 1 Oktober, 45% syarikat senaraian awam telah memenuhi sasaran 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita.

 

“Namun, masih terdapat 8 syarikat yang tiada wakil wanita dalam lembaga pengarah. Oleh itu Suruhanjaya Sekuriti akan meningkatkan usaha untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2026 hari ini.

 

Dalam usaha menyokong keusahawanan wanita, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mencatat prestasi bayaran balik yang amat cemerlang iaitu 99.97%. 

 

“AIM menyediakan dana sebanyak RM230 juta, menjadikan jumlah dana yang tersedia RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 usahawan.

 

“Sementara itu, Bank Rakyat, BSN, MARA dan SME Bank menyediakan pembiayaan tambahan sebanyak RM270 juta bagi menyokong usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita,” katanya.

 

Kerajaan juga akan membela nasib 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman bagi penyelesaian kes mahkamah termasuk perceraian dan hak penjagaan anak. 

 

Beliau berkata, langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan wanita dan anak muda terus diberi peluang dan sokongan untuk berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan. - DagangNews.com