Pelantikan Ketua Hakim Negara bukti tiada campur tangan dalam badan kehakiman, kata PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelantikan Ketua Hakim Negara bukti tiada campur tangan dalam badan kehakiman, kata PM Anwar

Pelantikan (dari kiri) Datuk Abu Bakar Jais, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Azizah Nawawi adalah sah dan menepati kehendak serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus tidak boleh dicabar di sisi undang-undang. - Gambar/Astro Awani

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan membuktikan tiada campur tangan dalam badan kehakiman negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, sebarang kelewatan dalam pengumuman pelantikan tersebut berpunca daripada proses pelantikan yang mengambil masa.

 

"Apakah krisis yang wujud? Saya tidak memecat mana-mana hakim, dan saya tidak merujuk mana-mana hakim kepada tribunal.

 

"Saya tidak campur tangan dalam sebarang keputusan, mahupun memberi arahan kepada mana-mana hakim, tidak seperti pentadbiran terdahulu.

 

"Ini kerana kebebasan badan kehakiman mesti dipertahankan," katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Purajaya, hari ini.

 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan tiga tokoh kehakiman tertinggi, termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

 

Turut dilantik ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, menggantikan Hakim Besar yang akan bersara.

 

Pelantikan berkenaan dibuat melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja. - DagangNews.com