KUALA LUMPUR 29 Julai - Pelaksanaan cukai karbon yang dirancang pada tahun hadapan di Malaysia berpotensi menyumbang hampir RM1 bilion setahun kepada hasil kerajaan dan pada masa sama mendorong industri berat mengurangkan kadar pelepasan karbon, kata BIMB Securities.
Katanya, cukai yang bermula pada kadar serendah S$5 setiap tan — berdasarkan pendekatan Singapura — boleh menyasarkan sektor tenaga, pengangkutan, penerokaan bahan api, pembakaran industri dan proses industri, yang secara kolektif dianggarkan melepaskan 288 juta tan karbon dioksida setara.
“Permulaan pada kadar sederhana memberikan masa mencukupi untuk menilai kesan ekonomi dan alam sekitar, selain memberi ruang kepada industri untuk menyesuaikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Diperkenalkan pada 2019, cukai karbon Singapura merupakan cukai karbon pertama di Asia Tenggara yang menyasarkan kemudahan yang melepaskan 25,000 tan atau lebih karbon dioksida setara setiap tahun.
Kadar cukai tersebut pada awalnya ditetapkan pada S$5 (RM16.46) setiap tan, meningkat kepada S$25 pada tahun 2024, dan akan meningkat lagi kepada S$45 menjelang 2026.
Cukai tersebut, yang merangkumi kira-kira 80% daripada jumlah pelepasan negara, tidak memberikan pengecualian atau elaun percuma.
Brunei, Vietnam, dan Thailand turut mengumumkan rancangan cukai karbon yang serupa.
Firma penyelidikan itu berkata, cukai karbon Malaysia pula diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan akan menyasarkan sektor dengan pelepasan tinggi seperti besi, keluli dan tenaga sebagai permulaan, yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada jejak karbon negara.
Pelaksanaannya bertepatan dengan permulaan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah (EU CBAM), yang mengenakan tarif karbon ke atas barangan yang diimport ke blok tersebut, bagi memastikan persaingan yang adil untuk negara-negara Eropah yang mungkin sebaliknya memindahkan pengeluaran dan pelepasan mereka ke tempat lain.
Pada 2023, Malaysia mengeluarkan sekitar 325 juta tan karbon dioksida setara, dengan sektor tenaga menyumbang lebih daripada 80% daripada jumlah keseluruhan.
Pelepasan per kapita adalah sembilan tan, mencerminkan kebergantungan tinggi terhadap bahan api fosil.
“Walaupun hanya menyumbang kurang daripada 1% kepada jumlah pelepasan global, trend yang semakin meningkat menunjukkan keperluan untuk mencapai sasaran keamatan karbon 2030 dan sasaran sifar bersih menjelang 2050,” kata BIMB Securities. - DagangNews.com








