Pelaburan RM218.5 bilion termasuk projek pusat data buka peluang luas sektor pembinaan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan RM218.5 bilion termasuk projek pusat data buka peluang luas sektor pembinaan - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – Pelaburan diluluskan sebanyak RM218.5 bilion di Malaysia pada separuh pertama 2026, termasuk peningkatan pelaburan dalam projek pusat data dan kecerdasan buatan, dijangka terus membuka peluang besar kepada sektor pembinaan negara.

 

RHB Research berkata, perkembangan itu menyokong pandangan positifnya terhadap sektor pembinaan Malaysia dengan mengekalkan saranan Overweight meskipun industri masih berdepan tekanan daripada kos bahan binaan yang tinggi serta kekurangan tenaga kerja.

 

Firma penyelidikan itu memilih Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad sebagai saham pilihan utama dalam sektor tersebut.

 

Daripada 10 syarikat pembinaan di bawah liputannya yang melaporkan keputusan kewangan bagi suku terbaru, enam syarikat memenuhi jangkaan, tiga mengatasi unjuran manakala hanya satu gagal mencapai sasaran.

 

Menurut RHB Research, keadaan itu menunjukkan prestasi sektor pembinaan secara keseluruhannya masih memberangsangkan dengan kontraktor terus mempunyai peluang untuk mengembangkan buku pesanan masing-masing.

 

Pusat Data Pacu Peluang Pembinaan Baharu

RHB Research berkata perkembangan pesat industri pusat data menjadi antara pemacu terbesar kepada permintaan kerja pembinaan di Malaysia ketika ini.

 

Jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia mencecah RM218.5 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan kira-kira 44% daripadanya datang daripada projek berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan.

 

“Johor khususnya mempunyai saluran pembangunan pusat data berkapasiti sehingga 2,486 megawatt (MW), yang berpotensi diterjemahkan kepada nilai kerja pembinaan sekitar RM49.7 bilion berdasarkan anggaran konservatif kos pembinaan RM20 juta bagi setiap MW.

 

“Peningkatan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan turut dijangka memberi kesan limpahan kepada rantaian nilai semikonduktor, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bangunan perindustrian,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Nilai transaksi hartanah perindustrian di Pulau Pinang dan Johor, misalnya, masing-masing meningkat 68% dan 33% tahun ke tahun pada suku pertama 2026, mencerminkan peningkatan aktiviti pelaburan dan pembangunan di kedua-dua negeri itu.

 

Margin Kukuh Tetapi Kos Masih Jadi Cabaran

Bagi syarikat pembinaan utama, RHB Research berkata margin keuntungan bersih Sunway Construction dan Kerjaya Prospek kekal baik pada suku kedua 2026, antaranya disebabkan tempoh pelaksanaan projek pusat data yang lebih pantas.

 

Sebahagian kontrak pusat data juga menggunakan kaedah kos tambah keuntungan (cost-plus), berbanding kontrak harga pukal tetap yang memberikan lebih fleksibiliti kepada kontraktor dalam menguruskan peningkatan kos.

 

Bagaimanapun, tekanan kos masih memberi kesan kepada sesetengah syarikat, terutama kontraktor kerja cerucuk dengan Econpile Holdings Berhad menyaksikan margin bersihnya susut kepada 3.2% pada suku kedua 2026 daripada 10.5% setahun sebelumnya berikutan peningkatan kos diesel.

 

Dari segi harga bahan binaan, harga bar keluli turun 9.5% tahun ke tahun pada Julai kepada kira-kira RM2,130 satu tan, paras terendah sejak Jun 2025, manakala harga purata simen di Semenanjung Malaysia meningkat 8% kepada RM25.27 bagi setiap beg seberat 50 kilogram.

 

RHB Research berkata, sektor itu masih mempunyai banyak peluang pertumbuhan menerusi projek infrastruktur yang bakal dilaksanakan, termasuk Segmen 2 Laluan Mutiara Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Klang serta beberapa projek pengangkutan dan infrastruktur utama lain.

 

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan projek pusat data, pembangunan perindustrian dan projek infrastruktur akan terus memastikan kontraktor Malaysia mempunyai bekalan kerja yang kukuh, walaupun risiko kos bahan binaan yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja kekal menjadi cabaran kepada sektor berkenaan. - DagangNews.com