Pelaburan hartanah RM40.09 bilion APAC tarik minat pelabur ke Malaysia, kata Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan hartanah RM40.09 bilion APAC tarik minat pelabur ke Malaysia, kata Knight Frank

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malaysia mula dilihat sebagai pasaran baharu yang menarik bagi pelabur global susulan lonjakan pelaburan dalam hartanah komersial Asia-Pasifik kepada RM40.09 bilion pada suku pertama 2025, berbanding tahun lalu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, semakin banyak pelabur antarabangsa berminat dengan Malaysia, terutama dari negara yang sedang menilai potensi pertumbuhan di Asia Tenggara.

 

Katanya, buat masa ini, Jepun, Korea Selatan dan Australia masih menjadi negara yang paling banyak melabur di negara ini.

 

"Malaysia mempunyai asas ekonomi yang semakin kukuh, pasaran dana amanah hartanah (REIT) yang berkembang dan peraturan yang semakin telus. 

 

"Walaupun pelabur masih berhati-hati, keadaan keseluruhan rantau ini memberikan harapan untuk masa depan," katanya dalam satu kenyataan berdasarkan laporan Asia-Pacific Capital Markets Insights oleh Knight Frank.

 

Knight Frank juga berkata, walaupun Malaysia bukan pilihan utama pelabur asing pada awal 2025, permintaan semakin meningkat, terutama di Kuala Lumpur, kawasan industri di Pulau Pinang dan kawasan logistik serta perumahan di Johor.

 

Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia untuk Pasaran Modal-Pelaburan, James Buckley pula berkata, pelabur yang sebelum ini memberi tumpuan hanya kepada pasaran utama kini mula mengalihkan perhatian ke Malaysia.

 

"Pelabur kini berminat dengan sektor industri dan pusat data, termasuk juga hotel kerana pelancongan semakin pulih, sekali gus meningkatkan kadar penginapan dan harga bilik,"  jelasnya.

 

Beliau menambah, minat yang timbul itu berpotensi diterjemahkan kepada transaksi sebenar jika keadaan ekonomi dan dasar kerajaan menjadi lebih stabil.

 

Selain itu, Knight Frank menjangka lebih banyak aktiviti pelaburan pada separuh kedua 2025, bergantung kepada keadaan ekonomi yang stabil dan dasar yang jelas daripada kerajaan.

 

Firma itu turut menyatakan, jumlah transaksi keseluruhan di APAC pada suku pertama 2025 adalah sebanyak RM140.96 bilion, menyamai jumlah tahun lalu, walaupun turun 0.8%. 

 

Namun, ia mencatatkan penurunan yang lebih besar sebanyak 17.1% berbanding suku keempat 2024. 

 

Transaksi rentas sempadan tetap aktif dan menyumbang 28.4% daripada semua aktiviti pelaburan, iaitu jumlah tertinggi sejak suku ketiga 2023. - DagangNews.com