KUALA LUMPUR 20 Mei - CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CGS MY) menyasarkan untuk memudahkan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM3 bilion ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ia selain itu turut menetapkan untuk mengurus aset bernilai RM3 bilion melalui penubuhan syarikat pelaburan khusus untuk keluarga kaya (Single Family Office).
Sasaran tersebut diumumkan selepas CGS MY menerima empat Surat Niat (LOI) daripada pelabur luar negara yang berminat dengan potensi besar JS-SEZ sebagai pusat pelaburan yang berdaya cipta di rantau ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Azizah Mohd Yatim, syarikat itu komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Johor dan agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bagi menarik lebih banyak pelaburan besar ke kawasan berkenaan.
"LOI yang diterima bukan sahaja menunjukkan minat untuk melabur, tetapi juga kepercayaan terhadap visi bersama untuk menjadikan JS-SEZ sebagai lokasi yang mendorong inovasi dan kerjasama antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Penerimaan LOI tersebut diumumkan sempena sesi dialog JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation yang berlangsung baru-baru ini.
CGS MY adalah satu daripada enam institusi kewangan yang dipilih untuk membantu pelaksanaan dan pembangunan pelaburan di JS-SEZ.
Syarikat itu juga akan membantu pelabur untuk mengakses pasaran modal, mengembangkan perniagaan dan membina kerjasama strategik di kawasan berkenaan.
Menghubungkan wang dengan peluang, syarikat tersebut memainkan peranan penting dalam membina ekonomi yang mampan dan kerjasama rentas sempadan di Asia Tenggara. - DagangNews.com







