KUALA LUMPUR 11 Sept - Hibiscus Petroleum Berhad dibimbangi berdepan tekanan kos selepas membuat pelaburan sekitar AS$134 juta (RM565.6 juta) bagi projek pemampat bertekanan rendah (LPC) di medan gas Maharajalela Jamalualam (MLJ) di Brunei, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, projek itu bertujuan mengekalkan pengeluaran gas sehingga 2029 dengan pilihan lanjutan sehingga 2039.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu bimbang, kos yang tinggi itu mungkin tidak sepadan dengan hasil, memandangkan MLJ merupakan aset lama dengan rizab yang terhad dan pengeluaran harian hanya sekitar 7,000 tong setara (boe).
"Lebih membimbangkan, projek ini memerlukan kerja besar seperti pengubahsuaian loji pemprosesan di darat, pemasangan kabel 66kv dan penutupan penuh operasi pada September 2025.
"Jika berlaku kelewatan atau kos tambahan, keuntungan syarikat boleh terjejas," katanya dalam satu nota kajian.
Sebelum ini, Hibiscus membeli 37.5% kepentingan dalam MLJ pada harga AS$259.4 juta yang dianggap berpatutan.
PublicInvest berkata, keadaan itu membuatkan dijangka membuatkan kumpulan itu terlibat dalam kos tinggi tanpa jaminan pulangan yang memadai, terutamanya jika harga gas dunia jatuh.
Katanya, sebagai pengendali utama projek, beban risiko itu ditanggung sepenuhnya oleh Hibiscus.
"Bagaimanapun, setelah ditauliahkan, LPC dijangka memanjangkan kadar pengeluaran pada tahap optimum dengan ketara, meningkatkan kebolehpercayaan penghantaran kepada Brunei LNG, serta membuka rizab tambahan.
"Keadaan itu sekali gus menambah nilai kepada aset MLJ," katanya.- DagangNews.com








