KUALA LUMPUR 7 April - Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-24 berturut-turut dengan aliran keluar RM426.6 juta, lebih rendah berbanding RM1.15 bilion yang dicatatkan minggu lalu kerana pasaran ditutup dua hari bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.
MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari dengan Jumaat menunjukkan aliran keluar tertinggi iaitu RM329.9 juta manakala hari-hari lain berada dalam julat RM33.4 juta hingga RM63.4 juta.
"Dua sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah utiliti (RM72.6 juta) dan REIT (RM15.7 juta).
"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM249 juta), perkhidmatan kewangan (RM247.6 juta) dan teknologi (RM128.4 juta)," katanya dalam laporan aliran dana, hari ini.
Institusi tempatan terus menyediakan penampan terhadap jualan asing, mencatatkan pembelian bersih minggu ke-24 berturut-turut mereka dengan aliran masuk berjumlah RM369.1 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali kepada pembeli bersih, menamatkan rentetan jualan seminggu mereka dengan aliran masuk RM57.5 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan secara meluas. Penyertaan pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing menjunam sebanyak 11.7% dan 28.8%, manakala peruncit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 2.2%.- DagangNews.com







