Pelabur asing beli ekuiti tempatan RM422.6 juta, minggu ketiga berturut-turut di Bursa Malaysia - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing beli ekuiti tempatan RM422.6 juta, minggu ketiga berturut-turut di Bursa Malaysia - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pelabur asing meneruskan rentak belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM422.6 juta, pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding RM853.8 juta yang dicatatkan minggu lalu.

 

Katanya, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Khamis, yang mencatatkan aliran keluar masing-masing sebanyak RM92.4 juta dan RM42.4 juta.

 

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan adalah pada Rabu sebanyak RM364.8 juta, diikuti Jumaat sebanyak RM135.1 juta.

 

"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM253.3 juta), telekomunikasi dan media (RM53.3 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM51.1 juta). 

 

"Dua sektor sahaja yang mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu tenaga (RM57.5 juta) dan Teknologi (RM56 juta)," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research berkata, institusi tempatan juga meneruskan aliran jualan bersih mereka selama tiga minggu berturut-turut, dengan aliran keluar sebanyak RM397.8 juta.

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan trend jualan bersih mereka untuk minggu keempat, walaupun aliran keluar menurun kepada RM24.8 juta berbanding RM161.2 juta pada minggu sebelumnya.

 

Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu.

 

Institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 8.6% dan 2.9%, manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak 6.1%. - DagangNews.com