KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelabur asing meneruskan rentak belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kedua-berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM853.8 juta, pada minggu lalu.
MIDF Research berkata, ia merupakan kali pertama aliran masuk asing berlaku selama dua minggu berturut-turut sejak September 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan, dengan jumlah harian antara RM50.7 juta hingga RM340.8 juta.
"Jumaat mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi, diikuti Khamis, masing-masing dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM340.8 juta dan RM325.2 juta.
"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM567.4 juta), penjagaan kesihatan (RM124.8 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM107.9 juta).
"Hanya dua sektor mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu tenaga (RM31.9 juta) dan perladangan (RM6 juta)," katanya dalam laporan aliran dana, hari ini.
MIDF Research berkata, institusi tempatan juga meneruskan aliran jualan bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM692.6 juta.
Ini merupakan minggu kedua berturut-turut institusi tempatan menjual bersih sejak Ogos 2024.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan trend jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut, dengan aliran keluar sebanyak RM161.2 juta, hampir 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar minggu sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh pada minggu lepas.
Katanya, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.7% dan 5.7% masing-masing, manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak 26%. - DagangNews.com








