KUALA LUMPUR 22 Sept - Pelabur asing meneruskan rentak belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM492.1 juta, pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, minggu dagangan itu lebih singkat kerana pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti Hari Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada dua daripada tiga hari dagangan minggu lalu, dengan Rabu mencatatkan aktiviti belian bersih tertinggi iaitu RM348.69 juta.
Ia diikuti pada Jumaat dengan RM205.30 juta, manakala satu-satunya aliran keluar berlaku pada Selasa sebanyak RM61.9 juta.
"Tiga sektor teratas yang merekodkan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan & logistik (RM131.8 juta), produk & perkhidmatan industri (RM126.9 juta) serta teknologi (RM117.1 juta).
"Dua sektor yang mencatat aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM154.7 juta) dan penjagaan kesihatan (RM38.1 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan pula meneruskan jualan bersih untuk dua minggu berturut-turut dengan aliran keluar RM337.6 juta.
Katanya, peruncit tempatan juga melanjutkan trend jualan bersih untuk minggu kedua, dengan aliran keluar sebanyak RM159.5 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat bagi semua kumpulan pelabur minggu lalu. Pelabur asing mencatat lonjakan ketara sebanyak 88.3%, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merekodkan peningkatan 21.2% dan 19%.- DagangNews.com








