Pelabuhan Bintulu bakal jadi hab zon bebas serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabuhan Bintulu bakal jadi hab zon bebas serantau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Bintulu Port Holdings Bhd sedang sedang menggandakan usaha untuk menjadikan Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Peindustrian Samalaju sebagai hab zon bebas serantau bagi memacu pertumbuhan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Ruslan Abdul Ghani berkata, langkah asas bagi membangunkan zon bebas di Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Perindustrian Samalaju sudah dimulakan pada tahun lepas, memanfaatkan lokasi maritim strategik dan hubungan perdagangan yang kukuh.

 

“Untuk menyokong pengembangan ini, kami sedang menstrukturkan entiti pengurusan khusus untuk mengawasi zon bebas, memastikan tarikan pelaburan yang cekap, pematuhan peraturan dan integrasi logistik.

 

“Inisiatif itu sejajar dengan agenda ekonomi sempadan Sarawak, meletakkan Bintulu sebagai pintu masuk utama untuk pemindahan kapal dan pembangunan perindustrian,” katanya dalam laporan tahunan 2024.

 

Ruslan berkata, Bintulu Port telah memuktamadkan Pelan Pembangunan Pelabuhan untuk Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) dan Samalaju Industrial Port Sdn Bhd, kedua-dua anak syarikat milik penuhnya, untuk sejajar dengan keperluan industri yang sedang pesat membangun.

 

Pelan itu akan menentukan peningkatan kapasiti utama, pelaburan kemampanan dan peningkatan operasi yang akan memacu fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Pelabuhan Perindustrian Samalaju direka dan dibina khas bagi memenuhi industri intensif tenaga di Taman Perindustrian Samalaju, yang telah memperoleh lebih daripada RM52 bilion dalam pelaburan, termasuk loji peleburan aluminium dan ferroalloy.

 

“Selain itu, kami sedang mengembangkan Terminal 2 pelbagai guna kami dengan penambahbaikan bagi meningkatkan keupayaan kami mengendalikan kargo dengan lebih cekap," kataya.

 

Beliau berkata, Pelabuhan Bintulu, yang merupakan terminal eksport gas asli cecair (LNG) terbesar di Asia Timur, terus mengukuhkan peranannya dalam rangkaian perdagangan serantau dan ini dirangsang apabila laluan perkapalan terus antara Pelabuhan Muara (Brunei) dan Pelabuhan Teluk Beibu (China) diwujudkan tahun lepas.

 

Beliau berkata laluan baharu ini mengukuhkan aliran perdagangan China-Asia Tenggara, membolehkan Bintulu menangkap peningkatan jumlah kargo pemindahan kapal dan meningkatkan kesalinghubungan serantaunya.

 

“Perdagangan global sedang memasuki tempoh penjajaran semula dan gangguan.

 

“Dengan kembalinya Donald Trump ke jawatan presiden AS pada 2025, ia boleh mencetuskan semula ketegangan perdagangan AS-China, memaksa syarikat menyusun semula rantaian bekalan dan mengarahkan semula aliran kargo.

 

“Kami melihat perkara ini sebelum penggal beliau sebelum ini apabila Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menjadi alternatif menarik bagi perniagaan yang ingin mengurangkan pendedahan kepada risiko tarif di bawah strategi China+1," katanya.

 

Ruslan berkata, Pelabuhan Bintulu bersedia untuk menguasai bahagian perdagangan yang lebih besar.

 

“Apabila syarikat memindahkan rantaian bekalan ke Vietnam, Indonesia dan Malaysia, saya melihat peningkatan dalam jumlah penghantaran melalui pelabuhan kami.

 

“Oleh itu, kami meletakkan diri kami sebagai hab logistik pilihan untuk syarikat yang mencari penyelesaian pelabuhan yang cekap, boleh dipercayai dan kos efektif," katanya.- DagangNews.com