KUALA LUMPUR 9 April - Pekat Group Bhd dianggar mencatatkan pendapatan memberangsangkan tahun ini, didorong buku pesanan kukuh melebihi RM600 juta dan penyatuan penuh EPE Switchgear (M) Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung yang dimiliki sebanyak 60%.
Syarikat itu mengkhususkan dalam sistem solar fotovoltaik dan kejuruteraan elektrik.
UOB Kay Hian Research (UOBKH Research) berkata, Pekat akan mencatatkan rekod tahun ini, didorong oleh buku pesanan yang kukuh melebihi RM600 juta dan penyatuan penuh EPE Switchgear.
"Ini akan membuka laluan buat kumpulan untuk melaksanakan pengurusan modal aktif dan berpindah ke penyenaraian Pasaran Utama menjelang akhir tahun," katanya dalam satu nota kajian.
UOBKH Research turut meramalkan kumpulan itu akan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan sebanyak 32% dari 2025 hingga 2027. Selain itu, syarikat itu dijangka memenangi tender bernilai RM130 juta menjelang akhir bulan ini, dengan kemungkinan memperoleh kontrak RM100 juta lagi menjelang akhir tahun ini.
Ia turut menambah, peningkatan dalam tender yang dikeluarkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari tahun ke tahun yang turut memberi manfaat kepada EPE Switchgear.
Buku pesanan EPE Switchgear yang berkembang pesat dijangka menyumbang sekitar RM200 juta kepada jumlah pendapatan Pekat Group tahun ini, berbanding RM100 juta pada tahun 2023.
"Terdapat juga potensi peluasan margin hasil daripada kesan positif pengaruh operasi," kata firma penyelidikan itu.
Firma penyelidikan itu menganggarkan, kumpulan itu mempunyai buku pesanan sedia ada melebihi RM600 juta.
Katanya, EPE Switchgear baru-baru ini memenangi kontrak RM97 juta dari TNB untuk membekalkan pemutus litar berkapasiti tinggi bagi rangkaian pengedaran elektrik nasional.
Dengan prestasi yang kukuh, Pekat Group dijangka berjaya melaksanakan perpindahan ke Pasaran Utama Bursa Malaysia menjelang akhir tahun ini.
UOBKH Research mengekalkan penarafan "beli" terhadap syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham.- DagangNews.com








