KUALA LUMPUR 6 Mei - Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melancarkan PayNet Fintech Hub, sebuah program pemecut bagi menyediakan bimbingan, pembiayaan dan pendedahan global kepada syarikat teknologi kewangan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, PayNet Fintech Hub dibangunkan untuk menangani cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat teknologi kewangan di Malaysia, terutamanya dalam fasa pertumbuhan awal.
"Ada kira-kira 300 syarikat teknologi kewangan di Malaysia, tetapi kami hanya akan memilih kurang 50 syarikat yang betul-betul bersedia.
"Mereka yang terpilih akan menerima sokongan dalam bentuk manfaat bukan kewangan," katanya semasa pelancaran program itu semalam seperti laporan The Sun.
PayNet Fintech Hub dibangunkan dengan dua komponen utama iaitu Komuniti dan Pemangkin.
Syarikat teknologi kewangan yang terpilih dalam Komuniti akan dapat berhubung terus dengan pengasas dan pakar industri untuk berkongsi idea dan pengalaman.
Mereka juga akan menerima 450 jam bimbingan, peluang kerjasama dengan syarikat besar dalam bidang perbankan, pembayaran dan teknologi, serta akses kepada pelabur yang boleh memberi tunjuk ajar, menilai dan melabur dalam syarikat mereka.
Selain itu, semua ahli Komuniti Fintech Hub akan menerima sokongan kewangan seperti lebih RM1 juta dalam kredit PayNet dan lebih RM600,000 untuk khidmat nasihat undang-undang, kewangan, sumber manusia dan kajian pasaran.
Selain itu, syarikat berpotensi juga boleh menerima sehingga RM3 juta dalam bentuk kredit dan bantuan teknologi awan serta akses ke ruang kerja bersama.
Syarikat teknologi kewangan yang paling berpotensi dari Komuniti akan dipilih untuk menyertai program Pemangkin.
Program Pemangkin adalah hasil kerjasama dengan institusi global untuk memberi pendedahan antarabangsa, bimbingan, sumber dan akses kepada syarikat teknologi kewangan Malaysia terkemuka.
Syarikat yang terpilih dalam inisiatif Pemangkin akan menyertai program pemecut selama 10 minggu yang dibiayai sepenuhnya dengan kerjasama Imperial College London.
Program berkenaan termasuk lawatan ke Imperial College London serta syarikat pemula dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Peserta akan dilatih dan dibimbing oleh Imperial College London dan akan menyertai hari pembentangan khas yang memberi peluang bertemu pelabur dan syarikat besar. - DagangNews.com








