PayNet perkenal Program Akar, bangunkan bakat AI dan sains data bagi sektor kewangan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PayNet perkenal Program Akar, bangunkan bakat AI dan sains data bagi sektor kewangan Malaysia

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 April – Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan fasa baharu Program Akar yang memberi fokus kepada kecerdasan buatan (AI) dan sains  data sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat kebangsaan.

 

Program itu bertujuan untuk mempersiapkan industri perkhidmatan kewangan (FSI) Malaysia menghadapi cabaran masa depan dengan membangnkan saluran bakat digital melalui latihan praktikal, pembangunan kepimpinan dan pendedahan dunia sebenar. 

 

Selain itu, ia memberi peluang kepada pelajar universiti untuk memperoleh kemahiran praktikal dalam bidang pembayaran digital, AI, dan industri perkhidmatan kewangan. 

 

Kohort pertama terdiri daripada 100 peserta, bermula dengan 25 pelajar dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan dijangka berkembang kepada 75 pelajar dari universiti tempatan lain menjelang akhir tahun ini.

 

Program Akar merangkumi tiga komponen utama iaitu pembangunan nilai dan kepimpinan yang memberi fokus kepada pembentukan integriti dan pemikiran untuk masa hadapan, pengetahuan dalam pembayaran digital yang meliputi evolusi wang, sistem perbankan, dan keselamatan transaksi, serta penguasaan dalam AI dan sains data yang menggabungkan pengetahuan asas dengan pemikiran kritikal dan aplikasi dunia sebenar.

 

Fasa kedua, yang diperkasa oleh Microsoft melalui inisiatif "AI for Malaysia’s Future" (AIForMYFuture), memperluaskan program itu kepada bidang AI dan sains data. Kerjasama itu menegaskan komitmen PayNet untuk terus berada di hadapan perubahan industri dan membangunkan bakat digital yang memenuhi keperluan ekosistem kewangan Malaysia.

 

Program Akar dilaksanakan bersama rakan pelaksana PEOPLElogy Berhad dan Futuresparx Sdn Bhd untuk memastikan integrasi laluan pembelajaran AI terkini Microsoft, yang mempersiapkan graduan dengan kemahiran dunia sebenar dan memupuk minda untuk masa hadapan.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, mereka melihat pembangunan bakat sebagai usaha pembangunan negara. 

 

"Program Akar bukan sekadar persiapan pelajar untuk pekerjaan, tetapi usaha membentuk mereka untuk menerajui ekonomi digital Malaysia dengan matlamat yang jelas," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si juga berkata, AI mengubah setiap peranan dalam industri, termasuk perkhidmatan kewangan. 

 

"Melalui kerjasama ini, kami membantu membina generasi bakat yang dilengkapi dengan kemahiran digital dan AI untuk berjaya," katanya.

 

Seorang pelajar dari Universiti Multimedia Malaysia yang terpilih dalam kohort pertama, Amir Hibban Amir Herman berkata, peluang yang diperoleh adalah langkah besar dalam mengukuhkan hala tuju kerjayanya dalam ekonomi digital Malaysia.

 

Program itu merupakan sebahagian daripada komitmen PayNet untuk membentuk Malaysia menjadi lebih sedia masa hadapan. Ia adalah usaha untuk memberi latihan dan membangunkan bakat muda dengan kemahiran, minda, dan nilai yang diperlukan untuk memimpin dalam dunia yang sentiasa berubah. 

 

Dengan kerjasama rapat bersama Microsoft dan rakan ekosistem lain, PayNet menyediakan peluang untuk belia Malaysia membangunkan kerjaya dan membentuk masa depan yang boleh dibanggakan oleh negara.- DagangNews.com