KUALA LUMPUR 28 April - Sebanyak 48% majikan di Malaysia merancang untuk menambah kakitangan tetap pada separuh pertama 2025, menurut Laporan Pengambilan, Pampasan & Manfaat oleh Jobstreet by SEEK.
Mereka mengaitkan pengambilan kakitangan baharu dengan rancangan pengembangan perniagaan, penciptaan jawatan baharu dan penggantian kakitangan yang berhenti.
Sekitar 39% majikan mengurangkan tenaga kerja mereka pada 2024, meningkat daripada 2023 (18%) dan 2022 (14%), berdasarkan kajian yang melibatkan 2,279 profesional sumber manusia (HR) dan majikan.
Pada 2024, tiga bidang utama bagi pekerjaan tetap sepenuh masa kekal sama seperti 2023, iaitu pentadbiran dan sumber manusia (41% syarikat yang mengambil pekerja), perakaunan (33%), dan jualan pembangunan perniagaan (21%).
Bagi kakitangan yang berprestasi, tahun 2024 menunjukkan prestasi yang bercampur-campur iaitu bonus purata meningkat kepada dua bulan gaji, berbanding 1.7 bulan pada 2023.
Namun, hanya 77% majikan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja mereka, berbanding 85% pada tahun sebelumnya. Hanya 58% yang menawarkan kenaikan pangkat, berbanding 60% tahun sebelumnya.
Dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat, laporan tersebut mendapati ramai majikan memperkenalkan manfaat tambahan seperti cuti pengganti dan cuti bersalin yang lebih panjang.
Sebanyak 45% majikan turut melaksanakan waktu kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan mesra keluarga seperti bilik penyusuan dan perlindungan perubatan bagi menarik lebih ramai pekerja.
Lebih 70% syarikat menilai kemahiran (AI) semasa proses pengambilan, dengan 36% menganggapnya sebagai kemahiran yang kritikal.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, 47% syarikat masih berhati-hati mengadaptasi AI kerana kebimbangan terhadap kekurangan pengkhususan.
"Seiring AI semakin menjadi sebahagian daripada proses pengambilan, syarikat perlu menggunakannya dengan bijak supaya semua pihak mendapat manfaat ," katanya dalam satu kenyataan.
Laporan itu turut memberi tumpuan yang semakin meningkat terhadap kesediaan digital dan AI, di samping kemajuan dalam inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) yang membentuk landskap pengambilan pekerja moden.
Jobstreet by SEEK turut menekankan kemajuan Malaysia dalam DEI, dengan perwakilan wanita di lembaga pengarah dalam 100 syarikat awam terbesar (PLC) mencecah 33%, dan 27.6% di seluruh PLC setakat Januari 2025.
Melangkah ke hadapan, Jobstreet by SEEK mencadangkan agar syarikat mempelbagaikan strategi pengambilan, melaras penyesuaian gaji mengikut kadar inflasi, memperkasa manfaat pekerja, meningkatkan keupayaan dalam teknologi AI serta memperkukuh komitmen terhadap inisiatif DEI.- DagangNews.com








