Pasaran pejabat utama di KL kekal stabil, kadar sewa meningkat pada suku kedua 2025 - Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran pejabat utama di KL kekal stabil, kadar sewa meningkat pada suku kedua 2025 - Knight Frank

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pasaran pejabat utama di Kuala Lumpur kekal stabil pada suku kedua (Q2) 2025, disokong permintaan terhadap bangunan premium yang mempunyai akses transit dan mematuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menurut Knight Frank.

 

Dalam laporan terbaharu Asia-Pacific Office Highlights, firma itu berkata, kadar sewa pejabat utama di pusat bandar berada pada purata RM6.02 setiap kaki persegi sebulan, meningkat 2.6% mencerminkan daya tahan dalam persekitaran semakin positif.

 

Firma perunding hartanah itu berkata, pasaran terus memihak kepada penyewa, dengan tuan tanah memberi tumpuan kepada mengekalkan penyewa dan penawaran semakin baik bagi memenuhi jangkaan ruang kerja yang semakin berkembang.

 

Pengarah Eksekutif Kanan Strategi dan Rumusan Pejabat, Teh Young Khean berkata, permintaan terus tertumpu kepada bangunan Gred A dengan spesifikasi moden dan terletak dalam pembangunan bersepadu.

 

“Pasaran terus bergerak secara perlahan dan stabil, dengan penambahbaikan kadar kekosongan sebanyak 1.2% dan peningkatan kadar sewa sebanyak 0.2% berbanding Q2 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selaras dengan trend di seluruh Asia Tenggara, keputusan penyewaan kini semakin dipengaruhi oleh sasaran kelestarian dan strategi penyatuan portfolio.

 

frank

 

Kuala Lumpur menjadi kawasan tumpuan utama kerana menawarkan spesifikasi pejabat bertaraf tinggi dengan kos penghunian yang jauh lebih rendah berbanding rakan serantau.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Keith Ooi berkata, bandar itu menawarkan alternatif yang menarik bagi syarikat multinasional yang sedang menilai semula kehadiran mereka.

 

“Apabila syarikat berusaha mengoptimumkan kos tanpa menjejaskan kualiti atau penjajaran ESG, Kuala Lumpur berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan tersebut—pada sebahagian kecil daripada kos pasaran seperti Singapura atau Hong Kong,” katanya.

 

Walaupun tahap kekosongan masih tinggi pada kadar 23.4 peratus tetapi ia menunjukkan tanda-tanda kestabilan dan pada masa sama mencerminkan jurang yang semakin melebar antara aset lama dan baharu dari segi keutamaan penyewa.

 

Knight Frank berkata, permintaan terus tertumpu kepada pembangunan premium yang mempunyai ketersambungan yang baik.

 

Di seluruh rantau Asia Pasifik, 18 daripada 24 bandar yang dipantau oleh firma tersebut mencatatkan kadar sewa pejabat utama yang stabil atau meningkat pada suku kedua (Q2) 2025.

 

Bekalan baharu meningkat lebih 1.4 juta meter persegi, namun kadar kekosongan keseluruhan kekal stabil disebabkan pengambilan ruang yang kukuh di India dan beberapa bahagian di Asia Tenggara.

 

Knight Frank berkata, penyiapan projek baharu dijangka menambah sebanyak 6.8% kepada jumlah stok pejabat di Kuala Lumpur tahun ini, sekali gus mengekalkan persekitaran yang memihak kepada penyewa dalam jangka masa terdekat.

 

Bagaimanapun, kelebihan kos bandar itu, yang dianggarkan hanya AS$26.70 setiap kaki persegi setahun serta peningkatan berterusan dalam infrastruktur dijangka menyokong daya tarikannya kepada penyewa serantau.

 

Walaupun pertumbuhan sewa mungkin kekal sederhana disebabkan oleh tekanan bekalan, Knight Frank berkata pasaran kini menyaksikan peralihan yang jelas ke arah penyewaan berasaskan kualiti, dengan pejabat yang direka bentuk dengan baik dan bersedia untuk ESG dalam hab bersepadu terus menunjukkan prestasi lebih baik. - DagangNews.com