KUALA LUMPUR 1 Okt - Pasaran modal Malaysia kini bernilai RM4.2 trilion, dengan instrumen Islamik merangkumi kira-kira 62%, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, Malaysia menyumbang satu pertiga daripada keseluruhan terbitan sukuk global.
“Kira-kira 80% syarikat tersenarai di Bursa Malaysia ditakrifkan sebagai patuh syariah. Ia memberi kita platform untuk mempelopori pendedahan, kovenan serta struktur berasaskan hasil yang selaras dengan Maqasid al-Syariah pada skala yang baik,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Roundtable ke-16 SC dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS).
Mohammad Faiz menegaskan, apabila tanggungjawab fidusiari diselaraskan dengan prinsip Maqasid al-Syariah — prinsip asas dalam pasaran modal Islam — ia menghasilkan satu set jangkaan berstruktur yang diaplikasikan berbeza di seluruh ekosistem.
“Ahli lembaga pengarah mesti merangka strategi yang bukan sahaja melindungi pulangan pemegang saham, tetapi juga mengambil kira penggunaan sumber antara generasi agar model perniagaan tidak mencetuskan mudarat jangka panjang,” katanya.
Beliau menekankan, pihak pengurusan kanan mempunyai tanggungjawab menterjemahkan komitmen tersebut ke dalam dasar operasi dan amalan pengurusan risiko, dengan memasukkan faktor iklim serta kelestarian ke dalam perancangan, ujian tekanan (stress test) dan ganjaran.
Sementara itu, pelabur dan pengurus dana pula mempunyai kewajipan menilai pelaburan bukan sahaja dari segi pulangan kewangan, tetapi juga sama ada ia menyokong atau menjejaskan objektif syariah.
Pengawal selia, katanya, perlu membangunkan peraturan, insentif serta pendedahan yang menjadikan akauntabiliti lebih telus dan boleh dikuatkuasakan.
Tambah beliau, Malaysia telah bergerak daripada sekadar menyatakan hasrat kepada pelaksanaan aktif.
“Di bawah Kerangka Pelaporan Kelestarian Nasional, syarikat tersenarai di Pasaran Utama dengan modal pasaran melebihi RM2 bilion akan mula membuat pelaporan berkaitan iklim tahun ini.
“Selebihnya di Pasaran Utama akan mengikutinya pada 2026, diikuti syarikat tersenarai di Pasaran ACE serta syarikat besar tidak tersenarai pada 2027,” katanya.- DagangNews.com








