KUALA LUMPUR 18 Julai - Pasaran hartanah mewah di Kuala Lumpur mula menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan dengan projek premium seperti Clouthaus dan Conlay Signature Suites mencatatkan sambutan yang menggalakkan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Katanya, permintaan dalam segmen hartanah mewah sering menjadi penanda aras sentimen dalam kalangan pembeli berorientasikan pelaburan, khususnya pelabur asing.
"Pemulihan berterusan berpotensi merangsang sektor hartanah dengan lebih lanjut, memandangkan pemaju mendapat manfaat daripada margin keuntungan yang lebih tinggi.
"Selain itu, Akta Pembaharuan Bandar yang dicadangkan bakal membuka peluang baharu kepada pembangunan semula di kawasan perdana yang sudah berusia," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan hubungan dengan Singapura mendorong permintaan kukuh kepada pemaju hartanah seperti Sunway Berhad, Mah Sing Group Berhad dan UEM Surise Berhad yang sedang merancang pelancaran projek besar di negeri itu.
Bagaimanapun, peningkatan permintaan spekulatif dan lonjakan pelancaran projek berketumpatan tinggi di kawasan berhampiran Sistem Transit Rapid (RTS) berisiko meningkatkan lebihan bekalan.
Katanya, selepas ledakan pusat data pada 2024, permintaan dalam segmen itu kini mula menurun memandangkan pengendali telah sebahagian besarnya memperoleh tanah dan kelulusan menjadi semakin ketat, manakala kenaikan kos (SST dan tarif elektrik) serta potensi sekatan cip AI menjejaskan daya maju projek baharu.
"Namun, permintaan hartanah industri di luar segmen pusat data kekal kukuh, disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berdaya tahan, sokongan kerajaan dan minat yang semakin meningkat terhadap hab baharu seperti Johor dan Negeri Sembilan, yang terus memacu pertumbuhan dalam segmen industri yang lebih luas," katanya.
Sementara itu, HLIB berkata, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini serta kenaikan gaji penjawat awam dijangka menyokong perbelanjaan runcit, sekali gus membantu mengimbangi sebahagian kesan daripada SST.
Dalam sektor hospitaliti katanya, kekuatan pelancongan Malaysia dengan penerimaan pelawat yang mencatatkan rekod memberi manfaat kepada pengendali seperti IOI Properties Group Bhd yang berada pada kedudukan kukuh dengan hotel yang dinaik taraf, portfolio yang diperluas dan sambungan yang lebih baik di IOI Resort City.
"Kami mengekalkan penarafan "overweight" ke atas sektor ini, disokong peningkatan pendapatan, sokongan dasar kerajaan, dan peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi.
"Pilihan utama kami ialah IOI Properties Group, OSK Holdings Berhad, Sunway dan Sime Darby Property yang berada pada kedudukan kukuh merentasi segmen perumahan, industri dan komersial," katanya.- DagangNews.com








