KUALA LUMPUR 14 Mei - Pasaran hartanah di Kuala Lumpur terus menunjukkan kekuatan dan pertumbuhan dalam pelbagai sektor utama, menurut laporan suku pertama 2025 oleh JLL Malaysia.
Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia, Yulia Nikulicheva berkata, permintaan terhadap hartanah masih kukuh, manakala kadar kekosongan di sektor industri, pejabat, kediaman dan runcit semakin menurun.
Katanya, perkembangan itu didorong oleh pelaburan daripada institusi, perubahan dalam populasi dan cara kerja yang semakin fleksibel.
"Pasaran hartanah Kuala Lumpur masih stabil dan berkembang," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, dalam sektor logistik, kadar kekosongan turun kepada 4% pada suku pertama 2025, berbanding 4.8% pada akhir 2024.
"Ini kerana ruang yang tersedia disewa dengan pantas dan tiada banyak projek baharu disiapkan," jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak lima gudang baharu siap dibina pada tahun lalu dengan jumlah keluasan lebih 4 juta kaki persegi susulan permintaan daripada syarikat dalam sektor elektrik dan elektronik, automotif, logistik dan perubatan.
Sementara itu, Nikulicheva berkata, banyak institusi kewangan dan syarikat teknologi memilih kawasan Tun Razak Exchange untuk menyewa ruang pejabat yang mesra alam, moden dan menawarkan ruang kerja yang fleksibel.
"Secara keseluruhan, kadar kekosongan pejabat kini berada pada 16.1%. Di pusat bandar Kuala Lumpur, kadar kekosongan adalah 19.4%, manakala di kawasan pinggir bandar hanya 8.5%," ujarnya.
Jelas beliau, bagi sektor kediaman mewah, kadar jualan bagi projek baharu berada antara 30% hingga 50% dan ada juga yang hampir mencecah 70%, walaupun jumlah pelancaran projek baharu agak berkurangan.
Tambahnya, kadar sewa di kawasan utama kekal stabil kerana ramai ekspatriat dan golongan profesional masih memilih untuk tinggal di servis apartmen atau konsep kediaman bersama (co-living) yang terletak berhampiran kemudahan pengangkutan.
"Minat pembeli asing pula terus meningkat hasil daripada program kerajaan seperti Visa Premium Malaysia dan Malaysia My Second Home (MM2H) yang telah diperbaharui," katanya.
Dalam sektor runcit, Nikulicheva berkata, rangkaian makanan dan minuman menjadi penyumbang utama kepada aktiviti penyewaan, dengan kemasukan jenama terkenal seperti Sushiro dari Jepun, Super Matcha dari Korea Selatan dan Luckin Coffee dari China.
Katanya, beberapa jenama fesyen baharu seperti JNBY dan KaraKu juga mula bertapak di Malaysia, selain jenama China, Semir, yang membuka cawangan baharu.
"Pusat membeli-belah Alamanda di Putrajaya pula menambah ruang sewa sebanyak 199,000 kaki persegi menerusi 29 kedai baharu, termasuk sebuah taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi," jelasnya.
Menurutnya, syarikat Asian Pac Holdings Bhd juga menyertai pasaran runcit di Petaling Jaya dengan membeli pusat membeli-belah Jaya Shopping Centre pada harga RM100 juta, sekali gus menambah portfolio pusat membeli-belah di kawasan pinggir bandar.
"Kami melihat perkembangan positif dalam logistik, perubahan kepada model kerja hibrid di pejabat, permintaan tinggi untuk kediaman mewah, serta pertumbuhan berterusan dalam sektor runcit.
"Semua ini menunjukkan Kuala Lumpur berada di landasan baik untuk terus berkembang pada tahun 2025 dan seterusnya," kata Nikulicheva. - DagangNews.com








