KUALA LUMPUR 14 Mei - Pasaran buruh di Malaysia kekal kukuh setakat ini, dengan kesan negatif yang minimum walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
HLIB berkata, pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus disokong oleh permintaan dalam negara yang stabil.
Ini turut dibantu oleh pertambahan peluang pekerjaan, kenaikan gaji yang berterusan, serta dasar kerajaan yang proaktif untuk mengurangkan kesan cabaran ekonomi global.
"Faktor-faktor ini akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara," kata HLIB dalam satu laporan terbaharu.
Katanya, walaupun pasaran buruh Malaysia masih kukuh, ada beberapa risiko yang boleh menjejaskannya, terutama disebabkan oleh ketidaktentuan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan permintaan yang lemah dari negara rakan dagang utama.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 pada kadar 4%.
HLIB menyatakan, pasaran buruh Malaysia terus mencatatkan peningkatan pada Mac 2025, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam permintaan domestik dan prestasi eksport yang lebih baik.
"Bilangan penganggur mencatatkan penurunan lebih ketara dan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.1%," jelas laporan itu.
Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan, pasaran kerja Malaysia akan kekal stabil sepanjang tahun 2025, disokong oleh permintaan dalam negara yang masih kukuh.
Katanya, antara faktor utama yang mendorong pertumbuhan adalah kenaikan gaji minimum dan gaji kakitangan awam, yang dijangka meningkatkan perbelanjaan rakyat.
"Pelaburan juga dijangka terus kukuh hasil daripada dasar-dasar kerajaan, pelaburan besar yang diluluskan tahun lalu dan perbelanjaan berterusan kerajaan melalui Belanjawan 2025.
"Sektor perkhidmatan pula dijangka terus berkembang, terutama dalam bidang pelancongan, berikutan peningkatan kedatangan pelancong dari China dan negara jiran," ujarnya dalam satu laporan kepada pelanggan.
Kenanga mengunjurkan pertumbuhan KDNK bagi suku pertama 2025 pada kadar 4.9%, sedikit lebih rendah berbanding 5% pada suku keempat 2024, tetapi masih melebihi jangkaan kerajaan sebanyak 4.4%.
Firma penyelidikan itu juga percaya, pertumbuhan mungkin lebih tinggi disebabkan data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Mac 2025 yang lebih baik daripada dijangka.
"Unjuran pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan 2025 dikekalkan pada 4.8%, berbanding 5.1% pada 2024, walaupun wujud ketidaktentuan dalam perdagangan global.
"Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada aliran masuk pelaburan dan perdagangan baharu serta kekuatan dalam permintaan domestik," tambahnya.
Kenanga turut menyatakan, kadar pengangguran di negara maju seperti AS dan Jepun menunjukkan prestasi yang berbeza-beza. - DagangNews.com








