KUALA LUMPUR 27 Ogos – Paramount Corp Bhd merancang untuk memperoleh lebih banyak tanah baharu dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM6 bilion menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, antara kawasan tumpuan ialah di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah.
Beliau berkata, proses pengambilalihan dua tanah baharu telah diselesaikan dalam tempoh dua bulan lepas iaitu projek bandar baharu bernilai RM946 juta di Kulim dan satu pembangunan bercampur bernilai RM744 juta di Pulau Pinang.
“Secara keseluruhannya, ia menambah RM1.7 bilion GDV kepada simpanan tanah sedia ada.
“Dengan kadar pelancaran purata RM1.5 bilion setahun, simpanan tanah semasa kami hanya mencukupi untuk sekitar satu hingga satu setengah tahun.
“Kami perlu menambah GDV bernilai RM6 bilion, dan kami perlu melakukannya sekarang,” katanya kepada pemberita.
Setakat 30 Jun, baki tanah belum dibangunkan Paramount ialah seluas 144.9 hektar dengan potensi GDV sebanyak RM5.24 bilion.
Beliau berkata, rancangan pengumpulan tanah ini dan tanah lain yang belum dibangunkan mampu menyokong pelancaran projek sekurang-kurangnya selama enam tahun.
“Namun, Paramount tidak berniat untuk meluaskan operasi ke luar kawasan memandangkan Pulau Pinang, Kedah dan Lembah Klang masih menawarkan prospek pertumbuhan yang kukuh.
“Pulau Pinang mendapat manfaat daripada peningkatan infrastruktur seperti MRT dan kedua-dua kawasan ini berada pada kedudukan yang baik untuk menarik migrasi bandar dari seluruh negara,” katanya.
Dalam tempoh sedekad lepas, Paramount telah mengukuhkan kehadirannya di tiga Lokasi tersebut, bergerak dari pembangunan hartanah di Sungai Petani ke projek tinggi dan pembangunan bersepadu di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Oleh itu, syarikat bercadang untuk terus memperkukuh kedudukan di sekitar kawasan ini, bukannya lokasi baharu,” katanya.
Pada Julai lalu, Paramount membeli sebidang tanah pegangan kekal di Pulau Pinang seluas 7.67 hektar daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dengan harga RM57.84 juta.
Tanah itu akan dibangunkan menjadi projek bercampur baharu dengan anggaran GDV RM744 juta. Pembinaan dijangka bermula pada 2027 dan siap pada 2033.
Awal bulan ini, kumpulan itu turut membeli empat lot tanah pegangan kekal di Bandar Lunas, Kulim, seluas 119.6 hektar dengan harga RM128.74 juta. Ia akan dibangunkan menjadi bandar baharu dengan anggaran GDV RM946 juta. - DagangNews.com








