Paramount beli 28% pegangan pengendali Texas Chicken, SF Coffee daripada JAG milik Johari Ghani berharga RM126 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paramount beli 28% pegangan pengendali Texas Chicken, SF Coffee daripada JAG milik Johari Ghani berharga RM126 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pemaju hartanah Paramount Corp Bhd merancang untuk mengambil alih 28% pegangan daripada operator rangkaian makanan segera, Texas Chicken dan San Francisco Coffee di Malaysia dengan harga tunai S$38.33 juta (RM126.32 juta), sebagai langkah untuk mengembangkan jejaknya dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

 

Cadangan pengambilalihan itu melibatkan Venice Concepts Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paramount, yang akan mengambil alih 85.17 juta saham atau pegangan 28% dalam Envictus International Holdings Ltd yang tersenarai di Bursa Singapura daripada JAG Capital Holdings Sdn Bhd.

 

JAG Capital, yang mana Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memiliki 96% kepentingan, kini memegang 29.6% saham dalam Envictus. Baki 4% dalam JAG Capital dimiliki oleh isteri beliau, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry.

 

Pemegang saham utama lain dalam Envictus ialah Datuk Jaya J B Tan dengan 28.78% pegangan dan Tan Boon Seng sebanyak 12%.

 

Selain operasi Texas Chicken dan San Francisco Coffee, Envictus turut menjalankan bahagian perdagangan dan makanan sejuk beku di bawah jenama Pok Brothers, serta bahagian tenusu yang terlibat dalam penjualan dan pengedaran jenama krimer SuJohan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY24), Envictus mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM50.55 juta, satu pemulihan ketara berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM32.85 juta pada FY23 dan RM6.39 juta pada FY22.

 

Pendapatan tahunan juga menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, meningkat kepada RM686.75 juta pada FY24, berbanding RM566.07 juta pada FY23 dan RM515.58 juta pada FY22.

 

Perjanjian tersebut menilai saham Envictus pada harga 45 sen Singapura sesaham, atau kira-kira RM1.48 setiap satu. Harga itu mewakili premium berbanding purata harga pasaran Envictus — 28.4% lebih tinggi berdasarkan purata lima hari dagangan dan 46.29% lebih tinggi berdasarkan purata enam bulan dagangan.

 

Paramount merancang untuk membiayai pertimbangan bernilai RM126.32 juta ini melalui pinjaman dan dana dalaman syarikat.

 

Langkah tu merupakan sebahagian daripada usaha Paramount untuk mengembangkan jejaknya dalam sektor makanan dan minuman (F&B). Kumpulan ini sudah memiliki dua restoran di Kuala Lumpur: restoran bertaraf Michelin, Dewakan dan Michelin Green Star, Bidou.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, langkah itu merupakan sebahagian strategi kelangsungan masa depan perniagaannya dengan melabur dalam perniagaan alternatif yang berpotensi menjadi teras baharu perniagaan kumpulan.

 

“Pengambilalihan pegangan besar dalam Envictus merupakan langkah strategik dan tepat pada masanya bagi pertumbuhan berterusan Paramount.

 

“Kami melihat potensi dalam sektor F&B yang bersifat lestari, dan pengambilalihan ini akan mempelbagaikan asas pendapatan kami," katanya.

 

Ini adalah pengambilalihan utama kedua oleh Paramount sejak 2024. Pada Mei 2024, pemaju hartanah ini telah mengambil alih 21.54% pegangan dalam Eco World International Bhd — yang kini dikenali sebagai EWI Capital Bhd — dengan nilai RM170.61 juta, bertujuan untuk mempercepatkan pengembangan ke luar negara.

 

Mengenai pengambilalihan terkini itu, Paramount berhasrat mencalonkan wakil ke dalam lembaga pengarah Envictus bagi melindungi kepentingannya dalam syarikat tersebut.

 

Pengambilalihan yang dicadangkan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijangka diselesaikan pada 7 Ogos ini. RHB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama Paramount untuk urus niaga ini.- DagangNews.com