KUALA LUMPUR 30 Mei – Untung bersih Paragon Globe Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) mencatatkan RM105.64 juta berbanding kerugian RM1.24 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan meningkat lebih 500% kepada RM306.25 juta daripada RM50.97 juta pada FY24, didorong oleh pembangunan hartanah yang kukuh, pelupusan tanah bernilai tinggi, dan kecekapan operasi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menjelaskan segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kumpulan, dengan RM151.5 juta dicatatkan pada suku keempat dan RM306.2 juta bagi keseluruhan tahun kewangan.
Pengerusi Eksekutif, Datuk Sri Edwin Tan Pei Seng berkata, peningkatan ketara dari hasil dan keuntungan mencerminkan kejayaan pelaksanaan jualan tanah bernilai tinggi di Desa Cemerlang, selain penerimaan pasaran yang kukuh terhadap pembangunan hartanah kumpulan di Pekan Nenas, Johor.
"Kami yakin terhadap prospek masa hadapan, terutama dengan pelbagai inisiatif pembangunan pesat di Johor termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Sistem Transit Rapid (RTS).
"Inisiatif ini dijangka mempergiatkan aktiviti ekonomi dan pasaran hartanah, sekali gus membuka peluang besar untuk projek perumahan serta perindustrian akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi suku keempat (4QFY25), keuntungan bersih meningkat kepada RM53.37 juta berbanding RM1.32 juta, manakala pendapatan naik kepada RM151.53 juta daripada RM7.85 juta sebelum ini serta tiada dividen diisytihar bagi tempoh tersebut.
Prestasi cemerlang itu disumbang oleh jualan tanah strategik serta sambutan menggalakkan terhadap kilang berasingan dan pejabat kedai yang ditawarkan.- DagangNews.com








