Pansar raih kontrak RM217 juta bagi pembinaan lebuh raya dua lorong Serian-Gedong-Samarahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pansar raih kontrak RM217 juta bagi pembinaan lebuh raya dua lorong Serian-Gedong-Samarahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Pansar Berhad menerusi Perbena Emas Sdn Bhd menerima kontrak RM217 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi kerja-kerja pembinaan lebuh raya dua lorong Serian-Gedong-Samarahan.

 

Kumpulan itu berkata, projek tersebut melibatkan reka bentuk dan pembinaan bagi menaik taraf kira-kira 4km jalan JKR R3 sedia ada dari Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong (kini jalan dua lorong sehala) kepada JKR R5 lebuh raya berkembar empat lorong.

 

Katanya, kontrak tersebut tersebut turut merangkumi pembinaan jalan sambungan baharu ke Pakej 1 (Simpang Rayang/Munggu Kopi/Tanah Puteh/Sebemban ke Daerah Gedong - Seksyen 1B).

 

"Selain itu ia turut melibatkan penyediaan rizab Transit Rel Autonomi (ART) di bahagian tengah jalan, kerja-kerja jambatan, lorong basikal, koridor utiliti, sebuah bulatan baharu, serta pemasangan lampu jalan, lampu isyarat, perabot jalan, papan tanda dan sistem perparitan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dan projek itu dijadualkan bermula pada September 2025. 

 

Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sejajar dengan kemajuan projek sepanjang tempoh kontrak.

 

Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Pansar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut.- DagangNews.com