Pan Malaysia peroleh RM15 juta melalui pelupusan kepentingan Indulgence World | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pan Malaysia peroleh RM15 juta melalui pelupusan kepentingan Indulgence World

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 6 Jan – Pan Malaysia Corporation Bhd (PMC) merancang menjana RM15 juta tunai melalui pelupusan pegangan 15.15% dalam Indulgence World Sdn Bhd (IWSB) serta penjualan portfolio tanda dagang berkaitan produk konfeksi.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, PMC berkata anak syarikat tidak langsungnya, PMRI Investments (Singapore) Pte Ltd akan melupuskan pegangan tersebut kepada Wah Kong Corporation Sdn Bhd pada harga RM8 juta secara tunai.

 

PMC menjelaskan pegangan berkenaan merupakan pelaburan pasif tanpa kawalan dalam IWSB, yang mana anak-anak syarikatnya terlibat dalam pembuatan dan pengedaran coklat serta produk konfeksi.

 

Dalam urus niaga berasingan, unit tidak langsung PMC, GCIH Trademarks Ltd akan memindahkan beberapa tanda dagang berkaitan konfeksi termasuk Crispy, Tango dan Maxcrunch kepada Network Foods Industries Sdn Bhd pada harga RM7 juta, yang akan dibayar secara berperingkat.

 

Menurut PMC, pelupusan tersebut bertujuan membuka nilai aset bukan teras serta mengukuhkan kedudukan tunai kumpulan.

 

Hasil daripada urus niaga berkenaan akan digunakan terutamanya bagi modal kerja, penyelesaian bayaran royalti, liabiliti cukai serta perbelanjaan berkaitan.

 

PMC turut memaklumkan urus niaga tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka diselesaikan pada suku ketiga 2026. - DagangNews.com