Pahang sasar lahirkan 400 syarikat pemula, jana RM2 bilion KDNK menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pahang sasar lahirkan 400 syarikat pemula, jana RM2 bilion KDNK menjelang 2030

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept – Pelancaran Pahang Startup Roadmap 2030 bakal menyumbang tambahan RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.

 

Melalui pelan hala tuju itu, kerajaan negeri Pahang turut menyasarkan untuk melahirkan 400 syarikat pemula (startup) serta menyediakan 5,000 peluang pekerjan baharu.

 

Selain memperkukuhkan daya saing ekonomi digital, ia juga bertujuan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu untuk negeri Pahang dalam bidang ekonomi digital.

 

 

 

 

Majlis pelancaran rasmi pelan hala tuju itu disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

 

 

 

 

t

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar  Mohamad Najib berkata, pelan hala tuju itu akan memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula di Pahang dengan sokongan pembiayaan serta jaringan pelaburan.

 

“Program ini adalah susulan kejayaan program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) sejak 2022 dengan kerjasama Yayasan Pahang dan BEYOND4 yang melatih lebih 100 graduan dalam bidang teknologi seperti pembangunan perisian, analitik data dan kecerdasan buatan (AI).

 

Beliau berkata, graduan berkenaan kini memperoleh gaji antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan.

 

“Sejak penubuhannya, PISA telah membimbing 79 syarikat pemula dan sebahagiannya berjaya menembusi pasaran dengan nilai jutaan ringgit. 

 

“Antara yang menonjol termasuk Qarbotech, Entomal Biotech, Exploria, YesHello dan C-Mart,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, lima daripada syarikat pemula di bawah PISA kini bernilai lebih USD1 bilion, termasuk Qarbotech yang telah menarik minat pelabur antarabangsa seperti Temasek dan Khazanah.

 

Katanya, kejayaan tersebut membuktikan PISA melahirkan banyak syarikat pemula yang berkualiti dan perlu terus diperkasakan.

 

 

 

 

 

 

“Kita juga ingin mengukuhkan sumber kewangan ekosistem pelabur untuk memberi dana kepada syarikat pemula ini, terutama yang mempunyai teknologi ataupun inovasi berkualiti tinggi.

 

“Banyak syarikat seperti Google, Grab, Netflix dan Nvidia bermula dengan cara ini dan berkembang pantas hasil pelaburan tinggi dan kita yakin dapat membangunkan ekosistem seperti ini di Pahang melalui pelan hala tuju yang dilancarkan,” katanya. - DagangNews.com