KUALA LUMPUR 19 Dis – Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju untuk meneruskan pemberian remisyen kadar cukai tanah bagi tahun 2026 dan 2027.
Keputusan itu merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan remisyen yang telah diberikan sejak tahun 2020 hingga 2025, bertujuan meringankan beban kewangan pemilik tanah di negeri tersebut.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata remisyen cukai tanah ini adalah tanda keprihatinan dan komitmen berterusan dalam membantu rakyat menunaikan tanggungjawab pembayaran cukai tanah mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Melalui langkah ini, Kerajaan Negeri Pahang berharap dapat mengimbangi keperluan rakyat dengan tadbir urus kewangan yang berhemah, memastikan pembangunan negeri dijalankan secara mapan dan bertanggungjawab.
“Remisyen ini juga selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras utama pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, pelaksanaannya juga memberi insentif kepada pemilik tanah untuk terus menyumbang kepada pendapatan negeri.
Kerajaan Negeri menegaskan, usaha berterusan ini adalah sebahagian daripada pendekatan strategik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pada masa sama memastikan pengurusan kewangan negeri tetap stabil dan cekap. - DagangNews.com








