Pahang catat hasil RM762.9 juta setakat November 2025 - Wan Rosdy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pahang catat hasil RM762.9 juta setakat November 2025 - Wan Rosdy

Gambar Facebook Media Pahang
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Dis – Pahang mencatatkan hasil sebanyak RM762.9 juta setakat November 2025 dengan lima sumber utama yang menyumbang iaitu cukai tanah, royalti, lesen dan permit, perolehan jualan pelbagai barangan termasuk premium tanah, serta geran Kerajaan Persekutuan.

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sumbangan hasil terbesar diterima daripada cukai tanah iaitu sebanyak 38.15% dari jumlah keluruhan kutipan hasil negeri.

 

“Jumlah hasil yang diperolehi dari lima sumber ini sangat memberangsangkan iaitu RM891 juta pada 2022, RM935.9 juta pada 2023, RM932.6 juta pada 2024 dan RM762.9 juta (setakat November 2025),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Andansura Rabu (PN-Beserah) yang ingin tahu apakah sumber utama hasil negeri Pahang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya cukai tanah sahaja yang masih merekodkan tunggakan setiap tahun iaitu RM483.4 juta pada tahun 2022, RM525.4 juta (2023), RM635.9 juta (2024) dan RM376.1 juta setakat Oktober 2025.

 

“Pada tahun 2021, tunggakan kita adalah sebanyak RM1.1 bilion namun pada tahun 2022, jumlah tunggakan berkurangan kepada RM483 juta manakala pada tahun 2023 jumlahnya RM552 juta, tahun 2024 (RM635 juta) dan setakat Oktober 2025 pula sebanyak RM376 juta.

 

“Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan jumlah kutipan ini dengan pelbagai usaha yang dilakukan PTG (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang).

 

“Tahniah kepada PTG kerana mampu mengurangkan jumlah tunggakan daripada RM1.1 bilion kepada lebih kurang 50 peratus sahaja,” katanya.

 

Tambahnya, hasil tidak berulang yang melibatkan kutipan premium, denda premium dan fi pengurangan premium secara one-off pula ialah sebanyak RM101.6 juta pada 2022, RM164.9 juta pada 2023 dan RM117.2 juta pada 2024. - DagangNews.com