PAC gesa reformasi segera sistem pembangunan tanah Kuala Lumpur, syor 11 cadangan penambahbaikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC gesa reformasi segera sistem pembangunan tanah Kuala Lumpur, syor 11 cadangan penambahbaikan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 OgosJawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan agar menyemak dan menambah baik sistem pembangunan tanah di Kuala Lumpur ekoran pendedahan mengenai kelemahan serius dalam kelulusan pembangunan, pengabaian bantahan awam serta penjualan tanah kerajaan pada harga di bawah pasaran.

 

Ia adalah sebahagian daripada laporan mengenai pembangunan tanah di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikeluarkan hari ini.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, laporan jawatankuasa itu menunjukkan tanah kerajaan telah dinilai rendah selama bertahun-tahun akibat penggunaan formula premium tanah berusia 30 tahun yang menyebabkan potensi berlakunya kerugian kepada kerajaan.

 

“Namun, kerajaan telah berjanji untuk mengemas kini formula tersebut.

 

“Selain itu, PAC mendapati beberapa isu utama lain termasuk kekurangan pengawasan dalam keputusan pembangunan tanah, di mana Lembaga Penasihat Wilayah Persekutuan hanya memberi nasihat, sementara Datuk Bandar Kuala Lumpur memegang kuasa penuh.

 

“Ahli Parlimen pula tidak terlibat dalam keputusan yang melibatkan tanah di Kawasan diwakilinya,” katanya di Parlimen hari ini.

 

Antara kelemahan lain yang dikesan dalam laporan PAC ialah pembatalan rizab awam dan kawasan hijau untuk projek swasta yang melanggar Pelan Tempatan Kuala Lumpur.

 

Selain itu, beliau berkata, ada tanah kerajaan yang diserahkan kepada pemaju bertindih dengan tapak infrastruktur kritikal milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sedangkan permohonan jabatan itu sendiri ditolak.

 

“PAC telah mengemukakan 11 cadangan reformasi, antaranya menubuhkan jawatankuasa pengawasan tanah kekal dengan penyertaan Ahli Parlimen, mengembalikan kawalan jawatankuasa kerja tanah kepada menteri Wilayah Persekutuan, menyemak dan meminda undang-undang berkaitan.

 

“Selain itu, adalah penting untuk memastikan semua transaksi tanah selaras dengan Pelan Struktur dan Pelan Tempatan yang digazet,” katanya.

 

Cadangan lain termasuk penggunaan tender terbuka untuk penjualan tanah, pengemaskinian formula penilaian tanah, serta memberi JPS hak milik tanah bagi melindungi reka bentuk asal dan fungsi sungai.

 

PAC turut menekankan kepentingan ketelusan dalam pembangunan tanah takungan banjir seperti Kampung Bohol dan menggesa akses awam kepada sistem maklumat tanah DBKL (OSC 3.0 Plus).

 

Menurut PAC, pelaksanaan reformasi ini adalah mendesak bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, serta kemampuan Kuala Lumpur dalam mengurus pembangunan bandar dan risiko perubahan iklim. - DagangNews.com