KUALA LUMPUR 4 Dis – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan terdapat kelemahan ketara dalam pengurusan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap penggunaan dana awam.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia meliputi aspek perolehan, pelaksanaan projek berskala besar serta pengurusan hasil dan prestasi GLC/GLIC, termasuk beberapa projek yang diluluskan tanpa analisis kos-faedah menyeluruh.
Beliau berkata, terdapat kontrak yang dijalankan tanpa dokumen formal dan kelewatan pelaksanaan yang boleh meningkatkan risiko pembaziran.
“Ketidakpatuhan dan pengurusan tidak cekap ini sentiasa berulang menyebabkan kebimbangan mengenai ketirisan dan beban kewangan.
“Isu ini lebih daripada kelemahan teknikal; ia boleh menjejaskan kestabilan fiskal negara,” katanya dalam sidang media hari ini.
PAC menegaskan transformasi segera perlu dilaksanakan untuk memperkukuhkan semula tadbir urus dalam pengurusan GLC dan GLIC.
Antara saranan PAC ialah memperketatkan pematuhan perolehan kerajaan, mewajibkan analisis kos-faedah bagi semua projek besar, serta memastikan setiap kontrak diperiksa dan disahkan sebelum pelaksanaan.
Selain itu, PAC turut mengesyorkan audit berkala sepanjang projek berjalan, bukan seperti amalan ketika ini iaitu hanya selepas projek selesai.
Selain itu, beliau berkata, PAC mengesyorkan agar prestasi GLC/GLIC yang lemah diteliti semula, termasuk kemungkinan penyusunan semula (restructuring), bagi memastikan dana awam diurus dengan cekap dan berkesan.
“Komunikasi dan koordinasi antara kementerian, agensi, dan pihak pelaksana projek perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan kelemahan berulang pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com








