KUALA LUMPUR 24 Sept – Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu, Oxford Innotech Berhad kini dalam proses memulakan pengeluaran besar-besaran di Kilang 2 (Fasa 1), Taman Sains Pulau Pinang selepas ujian percubaan pengeluaran mencatat hasil yang memberangsangkan.
Kilang pembuatan seluas 39,392 kaki persegi itu siap dibina pada Mei 2025 dan merupakan sebahagian daripada rancangan pengembangan syarikat susulan penyenaraian pada Julai 2025.
Dua mesin canggih yang menjadi tumpuan utama ujian percubaan pengeluaran ialah Coil Form Laser Cutting Machine yang mampu memproses lembaran logam sehingga panjang 6 meter dengan ketepatan tinggi.
Ia berjaya mengurangkan pembaziran bahan antara 10% hingga 20% manakala satu lagi mesin, Large Form Tube Laser Cutting pula sedang diuji untuk aplikasi struktur dengan kemampuan memproses tiub dan keluli struktur sehingga 12 meter panjang.
Pengarah Urusan Oxford Innotech, Ng Thean Gin berkata, pengeluaran besar-besaran dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang selepas ujian percubaan selesai yang akan meningkatkan jumlah keluasan pembuatan Kumpulan kepada 125,174 kaki persegi.
“Kapasiti tambahan ini membolehkan syarikat memenuhi permintaan yang meningkat dalam sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta sistem bangunan modular.
"Lebih banyak komponen kami kini telah mendapat kelulusan pelanggan, menyediakan landasan yang tepat untuk pesanan pengeluaran masa depan.
“Kilang baharu ini membolehkan kami memberi perkhidmatan lebih berkesan dan mengukuhkan kehadiran kami di pasaran," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Oxford Innotech juga merancang pembesaran kilang fasa 2 bagi menambah lagi 67,722 kaki persegi.
Apabila siap kelak, jumlah keseluruhan kawasan pembuatan Kumpulan adalah seluas 192,896 kaki persegi menjelang 2027.
Tambahnya, dari perspektif industri, sektor E&E Malaysia dijangka terus berkembang berterusan, disokong oleh prestasi eksport yang kukuh dan polisi nasional yang menyokong.
“Pada 2024, eksport industri mencatat RM601.2 bilion dengan semikonduktor menyumbang RM437.5 bilion.
“Momentum ini berterusan ke 2025, dengan eksport meningkat 17.3% tahun ke tahun kepada RM391 bilion dalam tujuh bulan pertama.
“Pelan Induk Industri Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional turut memperkukuh peranan sektor ini sebagai pemacu utama pertumbuhan,” katanya.
Berpusat di Pulau Pinang, Oxford Innotech menawarkan rumusan kejuruteraan, pemasangan mekanikal serta automasi dan robotik kepada pengeluar multinasional dan tempatan dalam sektor semikonduktor, E&E, automotif dan sistem bangunan modular. - DagangNews.com








