Oxford Innotech terima kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oxford Innotech terima kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Mei – Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu, Oxford Innotech Bhd (OXB) menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

 

OXB merupakan pakar dalam penyediaan komponen kejuruteraan berketepatan tinggi, pemasangan mekanikal, serta rumusan automasi dan robotik.

 

Pengarah Urusan OXB, Ng Thean Gin berterima kasih kepada Bursa Securities atas kelulusan yang diberikan bagi penyenaraian tersebut. 

 

"Ia mencerminkan keyakinan bersama terhadap keupayaan kumpulan serta nilai strategik yang kami bawa kepada ekosistem kejuruteraan dan juga pasaran saham secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Syarikat melihat potensi pertumbuhan ketara, khususnya dalam sektor semikonduktor dan sistem bangunan modular.

 

"Kami teruja untuk memasuki fasa baharu sebagai syarikat tersenarai, sambil terus fokus kepada inovasi dan peningkatan kecekapan bagi membantu pelanggan menambah baik operasi, mengurangkan kos, dan meningkatkan produktiviti," tambah Then Gin.

 

Penawaran awam permulaan (IPO) OXB merangkumi terbitan awam sebanyak 143.46 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 50 juta saham sedia ada, mewakili 27.3% daripada modal saham diperbesarkan kepada 710 juta saham selepas penyenaraian.

 

Syarikat menyasarkan penyenaraian di Pasaran ACE pada suku ketiga 2025.

 

Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan, manakala Wyncorp Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan korporat bagi proses IPO tersebut.- DagangNews.com