Oxford Innotech melonjak 24% pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oxford Innotech melonjak 24% pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Oxford Innotech Bhd mencatat prestasi cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia selepas sahamnya melonjak 24.14% pada hari pertama dagangan dan Berjaya meraih RM56.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Saham syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu dibuka pada 36 sen sesaham, meningkat tujuh sen atau 24.14% daripada harga IPO sebanyak 29 sen.

 

Ia kemudiannya mencecah paras tertinggi 39.5 sen sebelum diniagakan pada 38.5 sen setakat jam 9.15 pagi dengan lebih 43 juta saham telah bertukar tangan dalam tempoh tersebut.

 

Prestasi kukuh itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas perniagaan Oxford Innotech yang terlibat dalam pembuatan komponen bagi industri semikonduktor, elektrik dan elektronik, automotif serta pembinaan modular.

 

IPO syarikat tersebut berjaya mengumpul RM56.1 juta iaitu RM41.6 juta hasil terbitan saham baharu dan RM14.5 juta daripada tawaran jualan oleh pemegang saham utama.

 

Sebahagian besar dana baharu itu akan digunakan bagi membiayai pelan pengembangan strategik, termasuk RM23.1 juta untuk pembinaan kilang pengeluaran baharu di Pulau Pinang serta RM11.2 juta bagi pembelian dan pembiayaan semula mesin berteknologi tinggi.

 

Oxford Innotech kini mengendalikan kilang seluas 85,782 kaki persegi dan merancang menambah 39,392 kaki persegi menjelang suku ketiga 2025.

 

Tambahan 67,722 kaki persegi lagi dijangka siap pada 2027, sekali gus meningkatkan jumlah keluasan fasiliti kepada 192,896 kaki persegi, lebih dua kali ganda berbanding kapasiti sedia ada.

 

IPO ini turut melibatkan tawaran jualan oleh pengasas dan pengurusan kanan, termasuk Pengarah Urusan, Ng Thean Gin, isterinya merangkap Pengarah Eksekutif Lee Lai Chan, serta Pengarah Eksekutif Teh Teng Wah dan Oh Yen San.

 

Selepas penyenaraian, pegangan gabungan Thean Gin dan Lai Chan susut kepada 42.35%, manakala Teng Wah dan Yen San masing-masing memegang 13% dan 7.32% saham syarikat.

 

Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bersama bagi IPO ini, bersama Kenanga Investment Bank Bhd. Wyncorp Advisory Sdn Bhd pula dilantik sebagai penasihat kewangan korporat.

 

Kejayaan penyenaraian Oxford Innotech memperlihatkan sentimen pelabur runcit yang semakin pulih terhadap IPO di Pasaran ACE, selepas beberapa penyenaraian sebelum ini menunjukkan prestasi hambar. - DagangNews.com